PESERTA bergambar kenangan bersama hadiah dimenangi selepas majlis penyampaian hadiah.
PESERTA bergambar kenangan bersama hadiah dimenangi selepas majlis penyampaian hadiah.
Pizan Mustapa

Kuala Lumpur: Seramai 70 peserta terbabit dalam Pertandingan Bowling Silaturahim Antara Pengurusan, Ahli Majlis dan Media Massa anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid baru-baru ini.

Pertandingan bertujuan untuk memperkasakan hubungan di antara pengurusan tertinggi MBSA dan media yang menjadi pengantara kepada masyarakat khususnya warga Shah Alam, banyak membantu meningkatkan imej agensi itu menerusi laporan berkaitan aktiviti dan program yang dijalankan.

Pada pertandingan itu, pasukan Berita Harian diketuai Pengarang Berita, Mohd Saufi Hamzah muncul juara apabila mengumpul 1,715 jatuhan pin sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan piala.

Pasukan 9 Pengurusan dan Ahli Majlis MBSA pula menduduki tempat kedua dengan 1,592 dan menerima wang tunai RM500 serta piala manakala Pasukan 8 Pengurusan dan Ahli Majlis MBSA menduduki tempat ketiga (1,546 jatuhan pin) untuk membawa pulang eang tunai RM300 serta piala.

Orang Besar Daerah Petaling merangkap Ahli Majlis MBSA, Datuk Emran Kadir memenangi kategori jatuhan pin tertinggi lelaki dengan 508 manakala Khairul Adila Jamaluddin dari Jabatan Kewangan MBSA memenangi kategori wanita dengan 441 jatuhan pin.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Emran sendiri.

Turut memeriahkan pertandingan, Ahli-Ahli Majlis MBSA yang diketuai Tan Ah Kow merangkap pengerusi MPP Zon 12, Tengku Ahmad Tengku Kasim, Pengerusi MPP Zon 19 dan Harri Mohamad Hassan, Pengerusi MPP Zon 23.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 7:38 AM