RAZALI (tengah) bersama Jamilul (kiri), Asrizal (kanan) dan Iskandar (dua dari kanan).
RAZALI (tengah) bersama Jamilul (kiri), Asrizal (kanan) dan Iskandar (dua dari kanan).
Pizan Mustapa

Kuala Lumpur: Seramai lebih daripada 100 pengamal media sekitar Kuala Lumpur menyertai Kejohanan Bowling Persahabatan MPC-MEDIA yang berlangsung di Kuala Lumpur Megalanes, Endah Parade, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain berkata, kejohanan yang julung kali dianjurkan itu diadakan untuk menghargai pengamal media serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang selama ini terjalin.

Katanya, kejohanan itu adalah sebahagian daripada inisiatif MPC untuk mendekati golongan media yang selama ini berusaha keras menyalurkan berita terkini kepada semua pihak.

“MPC berterima kasih kepada media kerana pembabitan mereka menyampaikan maklumat untuk meningkatkan produktiviti kepada masyarakat. Saya harap program seperti ini dapat memperkukuhkan hubungan kerja bersama media,” katanya.

Pada kejohanan itu pasukan Metro Rangers yang diwakili oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Asrizal Aris, Iskandar Shah Mohamed dan Nurul shima Abu Kassim berjaya muncul juara dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 2,022.

Juara berjaya membawa pulang wang tunai RM500 dan piala. Manakala naib juara pasukan SPM Boleh! (RTM) dengan 1,967 jatuhan pin (RM300 dan piala) dan ketiga pasukan TV3, 1,953 jatuhan pin (RM200 dan piala).

Metro Rangers sekali lagi memenangi kategori individu, Pemain Lelaki Terbaik menerusi Asrizal Aris dengan jatuhan pin sebanyak 623 sambil Noor Azreen Naquiah (TV3) diumumkan sebagai pemain wanita terbaik dengan jatuhan pin sebanyak 556 dan masing-masing menerima wang tunai RM100 dan piala.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Razali dan Pengurus Perancangan Korporat, Shezlina Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 9:05 AM