SUHIZAZ (empat dari kiri), Zul Azhar (lima dari kiri) dan Azizi (dua dari kanan) bergambar bersama tiga pasukan teratas yang mengungguli Bowling Terbuka UniMAP/CEN-D 2017.
SUHIZAZ (empat dari kiri), Zul Azhar (lima dari kiri) dan Azizi (dua dari kanan) bergambar bersama tiga pasukan teratas yang mengungguli Bowling Terbuka UniMAP/CEN-D 2017.
Pizan Mustapa

Kuala Lumpur: Dua pasukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengungguli Kejohanan Tenpin Bowling Terbuka UniMAP- CEN-D 2017 yang berlangsung selama tiga hari di Ampang Superbowl, The Summit USJ, baru-baru ini.

Kejohanan julung kali diadakan itu disertai 200 peserta dari 55 pasukan termasuk daripada SUKMA negeri-negeri, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Universiti.

Pasukan UniMap CEN-D yang diwakili Nurakmal Ramli, Mohd Zul Fauzi Mohd Sawal dan Mahadzir dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila mengumpul 6,321 jatuhan pin dan membawa pulang RM8,000.

Manakala naib juara dan ketiga dimenangi pasukan UniMAP Utagha (6,316 jatuhan pin) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) (6,245 jatuhan pin). Masing-masing menerima wang tunai RM4,000 dan 2,000.

Sementara itu, 30 pemain yang mewakili pelbagai media turut mengambil bahagian dalam kategori jemputan khas dan ia menyaksikan penguasaan Harian Metro apabila Mohd Jamilul Anbia Md Denin muncul juara selepas membuat 393 jatuhan pin diikuti Boyd Madsam dari RTM (360 jatuhan pin)

dan Rikiman Yusof dari Kosmo (349 jatuhan pin).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal. Turut hadir, pengeluar produk kesihatan CEN-D yang juga penaja kejohanan, Ketua Pegawai Eksekutif Minda Teguh Trading, Azizi Ali dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 8:10 AM