NISHEL (kiri) akui cabaran lebih sukar tahun depan kerana terdapat Sukan Komanwel dan Asia.
NISHEL (kiri) akui cabaran lebih sukar tahun depan kerana terdapat Sukan Komanwel dan Asia.
Azlan Muhammad Zain


AGENSI Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sedang merangka strategi terbaik dalam misi untuk terus mengurangkan kes positif penggunaan bahan terlarang daripada kalangan atlet pada tahun depan.

Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar mengakui mereka dijangka menghadapi cabaran lebih sukar pada 2018 apabila dua temasya besar akan berlangsung.

“Sukar untuk saya menjelaskan secara terperinci, namun tahun depan terdapat Sukan Komanwel (April) dan Asia (Ogos), jadi sudah pasti ia tahun yang mencabar bagi ADAMAS. Kami sedang merangka strategi terbaik bagi mencegah sebaik mungkin,” katanya hari ini.

Menurut Nishel, berbaki dua minggu sebelum berakhirnya 2017, hanya empat kes positif menggunakan bahan terlarang iaitu seorang atlet muay thai, terjun (Wendy Ng), angkat berat (Mohd Hafifi Mansor) dan terbaru penjaga gol hoki negara, S Kumar ketika Piala Asia, Oktober lalu.

“Secara keseluruhan tahun ini, terdapat empat kes. Ia penurunan 10 kes berbanding 2016 yang mencatatkan 14 kes.

“Sebanyak 1,100 sampel atlet diambil dengan setiapnya membabitkan kos RM1,300 dan secara keseluruhan menelan belanja RM1.43 juta,” katanya.

Mengulas mengenai kes terbaru membabitkan atlet senior seperti Kumar, beliau berkata, sukar untuk mengulasnya kerana tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

“ADAMAS adalah badan berkecuali dan tidak boleh menyokong mana-mana pihak. Kami hanya memberikan pandangan tentang perkara teknikal dan nasihat apabila diminta.

“Perkara terbaik adalah sentiasa berwaspada selain mengikuti perkembangan terkini seperti senarai bahan terlarang 2018 yang dikeluarkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” jelasnya.

Beliau bagaimanapun memuji tindakan yang dilakukan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang mengendalikan kes Kumar dengan baik dan kini hanya menunggu tarikh pendengaran dari Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 7:53 PM