CONTE percaya Chelsea perlu fokus aksi liga untuk dapatkan tempat ke Liga Juara-Juara. -Foto Reuters
CONTE percaya Chelsea perlu fokus aksi liga untuk dapatkan tempat ke Liga Juara-Juara. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Antonio Conte mengakui Chelsea akan bergelut untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara pada masa depan dan memberi amaran “kejutan buruk” selepas menyaksikan mereka kini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Selepas mengharungi kekalahan keempat daripada 16 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada West Ham, Sabtu lalu, bos Chelsea itu berfikir peluang The Blues untuk mencabar kejuaraan sudah berakhir.

Pengendali dari Itali itu kemudian menilai semula sasarannya musim ini menjelang aksi liga bertemu Huddersfield, awal pagi nanti.

“Saya suka menang,” kata Conte. “Apabila kami kalah saya tidak gembira. Dalam 16 perlawanan, kami tewas empat perlawanan. Pengalaman mengajar (saya) mustahil untuk memenangi gelaran.

“Kini kami perlu fokus dalam aksi liga dari satu perlawanan ke satu perlawanan, melakukan yang terbaik. Liga ini tidak semudah itu. Kami perlu bertarung untuk mendapatkan tempat ke Liga Juara-Juara.”

Mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara pasti tidak mudah di EPL musim depan apabila ada enam kelab utama berpeluang mengisi tempat berkenaan.

Malah Conte berkata fokusnya selepas ini adalah masa depan dan bukannya pertembungan 16 terakhir Liga Juara-Juara bertemu Barcelona.

Conte secara berterusan ‘mengkritik’ aktiviti Chelsea pada jendela perpindahan musim panas lalu apabila menyaksikan seteru utama, City dan Manchester United berjaya menguatkan pasukan dengan membeli pemain bagus.

Tetapi ketika diminta mengulas mengenai situasi itu, Conte berkata dia tidak mengharapkan pemain baharu yang dibawa masuk pada Januari ini dapat mengubah nasib Chelsea dengan pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 11:51 AM