CONTE mahu anak buahnya menang ke atas Qarabag bagi menjamin tempat ke peringkat kalah mati UCL.
CONTE mahu anak buahnya menang ke atas Qarabag bagi menjamin tempat ke peringkat kalah mati UCL.
Reuters

LONDON: Chelsea perlu mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan kemenangan ke atas Qarabag, awal pagi Khamis ini untuk mengelak tekanan tambahan berikutan jadual padat, menurut pengendali Antonio Conte.

Juara Inggeris itu ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan C Liga Juara-Juara dan memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan tempat ke saingan kalah mati ketika berbaki dua perlawanan.

Conte menggesa skuad kendaliannya untuk ‘menyelesaikan’ kerja di Azerbaijan dan mengelak bebanan tambahan berikutan kepadatan jadual perlawanan yang menyaksikan kelab London itu perlu mengharungi 11 perlawanan sebelum tahun baharu.

PEMAIN Chelsea berlatih menghadapi Qarabag.
PEMAIN Chelsea berlatih menghadapi Qarabag.

“Kami perlu mengharungi perlawanan paling penting bermula awal musim ini hingga kini,” kata Conte.

“Jika kami mampu menang menentang Qarabag, kami boleh melangkah ke pusingan berikutnya dalam Liga Juara-Juara dan ia amat penting kerana bermula tempoh ini hingga Januari nanti amat sibuk, jadi kami perlu memenangi perlawanan.

“Ia tidak akan mudah kerana dua perlawanan sebelum ini mereka seri dua kali menentang Atletico Madrid... amat penting untuk kami fokus, untuk bekerja dan cuba untuk memenangi perlawanan.”

Chelsea ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan akan berkunjung ke Liverpool, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 10:13 PM