JUERGEN KLOPP
JUERGEN KLOPP
AFP

JUERGEN Klopp memberi amaran Liverpool perlu melupakan dahulu final Liga Juara-Juara ketika sasaran adalah layak ke pertandingan elit itu musim depan dengan mengecewakan Chelsea pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok.

Skuad kendalian Klopp ketika ini menghuni tangga keempat liga dengan kelebihan dua mata di depan Chelsea yang menghuni tangga kelima.

Begitupun, dengan kelebihan jumlah jaringan besar, mereka sepatutnya tidak bermasalah untuk menamatkan kempen di tangga keempat jika berjaya mengelak kekalahan ketika menentang Brighton, esok.

Kemenangan Liverpool di Anfield bermakna keputusan Chelsea menentang Newcastle tidak lagi relevan sekali gus memaksa juara Inggeris musim lalu itu beraksi di Liga Europa buat kali pertama sejak 2013.

Tidak pernah tewas di gelanggang sendiri musim ini, Liverpool berada di landasan untuk mencapainya.

Namun Klopp cukup sedar mengenai ancaman jangan terlalu memandang remeh lawan terutama ketika pertembungan final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid tampak boleh menjadi gangguan terhadap pemainnya.

“Kami perlu benar-benar fokus bagi perlawanan ini,” kata Klopp.

“Semalam, ramai orang mengucapkan selamat kepada saya bagi final Liga Juara-Juara pada 26 Mei ini dan mungkin dua atau tiga orang berkata, ‘Selamat berjaya pada Ahad’.

“Pemain berdepan begitu banyak cabaran dan kami perlu menunjukkannya sekali lagi. Banyak perkara boleh berlaku dalam bola sepak.

“Ia mengujakan. Kami akan cuba apa saja untuk memastikan bermain dalam Liga Juara-Juara sekali lagi.”

Chelsea seri 1-1 dengan Huddersfield, Khamis lalu sekali gus memberikan tamparan hebat dalam usaha mereka menamatkan kempen musim ini di tangga keempat liga dengan pengurus Blues, Antonio Conte mengakui situasi tidak memihak skuad kendaliannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 7:53 AM