CONTE risau dengan kekalahan mengejut kepada Bournemouth.
CONTE risau dengan kekalahan mengejut kepada Bournemouth.
Reuters

LONDON: Pengurus Chelsea Antonio Conte tidak mempunyai sebarang alasan atas kekalahan 0-3 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malah mengakui keputusan itu mampu membuatkan pasukannya terlepas tiket Liga Juara-Juara musim depan.

Kekalahan itu adalah yang pertama dalam sembilan perlawanan liga dan menyebabkan mereka jatuh ke tangga keempat di belakang Liverpool menerusi perbezaan gol.

Chelsea kini dua mata mengatasi Tottenham Hotspur, yang berada di luar zon kelayakan Liga Juara-Juara di tangga kelima.

“Kami perlu risau. Kami perlu bergelut uuntuk mendapatkan tiket ke Liga Juara-Juara.

“Kami perlu menerima hakikat, ia satu keputusan yang buruk dan memahami kami perlu berjuang musim ini, jika ada yang tidak faham maka mereka tidak memahami bola sepak. Bola sepak bukan sesuatu yang mudah.

“Jika kami hanya mampu memiliki impian, saya boleh katakan kami perlu berjuang untuk merebut gelaran musim ini. Namun adalah penting untuk melihat kepada realiti dan untuk mengetahuinya, jika kami mampu menempah tiket ke Liga Juara-Juara, ia pasti satu kejayaan besar buat kami.”

Biarpun Chelsea mendedahkan pemain baru mereka Olivier Giroud sebelum perlawanan, Conte dilaporkan tidak sependapat dengan kelab berhubung keperluan mengukuhkan skuad pada musim perpindahan.

“Mereka berhak menang. Kami cuba melakukan sesuatu tetapi ia sukar buat kami, biarpun pada separuh masa pertama ketika kedudukan 0-0, kami berdepan kesukaran,” kata jurulatih kelahiran Itali.

“Kami bergelut atas pelbagai sebab namun bercakap mengenai alasan bukan sesuatu yang penting, mereka berhak menang dan kami perlu mula bekerja kembali dan lakukan yang terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 9:59 AM