STERLING (kiri) jaring gol kemenangan di akhir perlawanan. FOTO/AFP
STERLING (kiri) jaring gol kemenangan di akhir perlawanan. FOTO/AFP
AFP

HUDDERSFIELD: Pep Guardiola melabel Manchester City kendaliannya sebagai pasukan mantap untuk semua musim apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris itu melepasi ujian bermain dalam hujan di Huddersfield awal pagi tadi.

Anak buah Guardiola kembali melebarkan jurang ke atas pesaing terdekat Manchester United kepada lapan mata selepas kebangkitan pada babak kedua di Stadium John Smith.

Ketinggalan akibat jaringan gol sendiri Nicolas Otamendi pada babak pertama, City terdedah kepada risiko tewas buat kali pertama musim ini, namun bangkit menerusi gol penyamaan Sergio Aguero yang menyempurnakan sepakan penalti dan gol kemenangan Raheem Sterling di akhir permainan.

“Liga Perdana amat sukar, sekarang masuk musim sejuk, kami sedar mereka amat agresif dan kuat, tetapi kami gembira dengan cara kami memenanginya,” kata Guardiola.

GUARDIOLA (dua dari kiri) meraikan kemenangan selepas City bangkit daripada ketinggalan satu gol.  FOTO/AFP
GUARDIOLA (dua dari kiri) meraikan kemenangan selepas City bangkit daripada ketinggalan satu gol. FOTO/AFP

“Kami berbincang ketika rehat bagaimana untuk menangani situasi ini, kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan kali pertama Huddersfield mendapat peluang, mereka menyempurnakannya. Kami bercakap mengenai jangan berputus asa, untuk terus berjuang.”

Kemenangan itu melakar satu lagi pencapaian baharu buat City – sebagai pasukan pertama mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan pertama Liga Perdana.

City memenangi 18 perlawanan dalam semua pertandingan sebelum ini dan belum tewas sepanjang 26 pertemuan.

Buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun, mereka memenangi perlawanan di tempat lawan selepas ketinggalan di babak pertama – mencatat rekod kelab untuk 11 kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam semua pertandingan.

Pengendali dari Sepanyol itu mengakui City adalah sebuah pasukan yang mampu mengharungi cabaran hingga ke akhir.

“Mustahil untuk menang semua perlawanan dengan mudah, liga ini amat sukar. Mereka berjuang dengan hebat sekali, kerana itu kami menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 9:31 AM