POCHETTINO kecewa dengan semangat pemainnya. FOTO/AFP
POCHETTINO kecewa dengan semangat pemainnya. FOTO/AFP
AFP

LEICESTER: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyelar barisan pemainnya yang kurang semangat juang selepas menerima tamparan hebat dalam misi memburu gelaran Liga Perdana Inggeris susulan kekalahan 1-2 di tangan Leicester City, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Spurs kini mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan dan mereka dijangka ketinggalan 16 mata di belakang Manchester City jika pendahulu liga itu berjaya menewaskan Southampton, awal pagi esok.

Gol menerusi Jamie Vardy - yang ke-100 dalam liga - dan Riyad Mahrez membolehkan Leicester selesa mendahului 2-0 sebelum Harry Kane menjaringkan gol sagu hati buat Spurs pada lewat babak perlawanan.

Tonggak pertahan Spurs, Danny Rose dinafikan sepakan penalti tetapi Pochettino enggan menjadikannya sebagai alasan susulan kekalahan itu yang menyaksikan peluang kelab London berkenaan untuk dinobatkan juara liga buat kali pertama sejak 1961 sudah tertutup.

“Dalam saingan Liga Perdana Inggeris jika kamu tidak berjuang, kamu akan bergelut dan prestasi kami menjadi contoh yang jelas terutama pada babak pertama apabila kami ketinggalan 2-0.

 PENYERANG Spurs, Harry Kane (kiri)  ketika menjaringkan gol pertama. FOTO/AFP
PENYERANG Spurs, Harry Kane (kiri) ketika menjaringkan gol pertama. FOTO/AFP

“Saya fikir dalam bola sepak, pertama sekali kamu perlu bersaing, berjuang dan fokus, selepas itu kualiti akan datang,” katanya.

Pengendali dari Argentina itu menambah: “Namun, Leicester bermain lebih baik berbanding kami dan bersedia untuk berjuang. Sukar untuk menganalisis perlawanan kerana kami bermula sangat perlahan.

“Prestasi kami pada babak pertama sangat mengecewakan. Kami perlu belajar daripada perlawanan ini, kami perlu bersaing - jika kamu tidak berjuang dalam Liga Perdana jurang akan bertambah besar.

“Pada babak pertama kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi kami beraksi hambar dan sebab itu saya kecewa,” katanya.

Spurs bermain lebih baik sejurus babak kedua bersambung tetapi gagal menyekat kemenangan Leicester yang menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan itu.

PEMAIN Spurs,  Fernando Llorente (tengah) terlepas peluang jaring gol. FOTO/AFP
PEMAIN Spurs, Fernando Llorente (tengah) terlepas peluang jaring gol. FOTO/AFP

“Saya fikir pada babak kedua kami bersaing dengan baik dan perlawanan boleh berakhir dengan keputusan 2-2 atau 3-3 tetapi kami tidak klinikal,” kata Pochettino.

Sementara itu, pengurus Leicester, Claude Puel berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya yang disifatkan terbaik sejak mengambil alih tugas di kelab itu pada Oktober lalu.

“Buat masa sekarang, ini adalah prestasi terbaik. Ia aksi yang menjanjikan masa depan yang cerah untuk perlawanan seterusnya.

“Kami perlu kekalkan sikap ini. Kami boleh meningkatkan lagi prestasi tetapi perlawanan ini lebih baik berbanding perlawanan terakhir sebelum ini (seri 1-1 dengan West Ham United),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 12:49 PM