Syafiq Aznan


SECARA diam-diam, Selangor hampir menyempurnakan perpindahan pemain import baharu apabila pengendalinya, P Maniam mengesahkan skuad The Red Giants itu sedang berunding mendapatkan khidmat pemain Bhayangkara FC, Evan Dimas (gambar) sebagai persediaan mengharungi Liga Malaysia (Liga M), musim 2018.

Bagaimanapun, bekas pengendali Air Asia FC itu enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai rundingan, memandangkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masih belum mencapai kata putus dengan pemain berusia 22 tahun berkenaan.

Maniam mahu rundingan dengan pemain yang beraksi dengan pasukan juara Liga 1, Indonesia itu dapat diselesaikan segera sebelum perpindahan dapat dimuktamadkan secara rasmi.

“Ya, memang kita ada membuat rundingan dengan Dimas, namun kita perlu bersaing dengan beberapa kelab dalam Liga Super yang turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Jadi, buat masa ini saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini.

“Secara peribadinya, saya memang mengalu-alukan kehadiran Dimas dalam pasukan Selangor, namun apa yang penting, jika rundingan itu berjaya, saya mengharapkan dia mampu menyesuaikan diri dengan segera bersama pasukan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khabar angin pemain tengah skuad Garuda Muda itu bakal menyertai juara Piala Malaysia 33 kali berkenaan bertiup kencang sejak minggu lalu, apabila beberapa laporan media di Indonesia menyatakan Dimas menolak tawaran kelab Thailand, Chonburi FC.

Dimas dikatakan berminat untuk memilih menyertai Selangor susulan ditawarkan gaji setinggi RM83,000 sebulan dan sejarah pasukan itu sendiri menyaksikan Selangor menjadi antara pasukan yang kerap mendapatkan pemain import dari republik berkenaan.

Sebelum ini, saingan Liga M sudah biasa disajikan dengan aksi pemain import Selangor dari Indonesia seperti Ristomoyo Kassim, Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan juga Andik Vermansyah.

Dalam perkembangan lain, Maniam juga mengakui beliau sudah menemui pengganti buat pemain utilitinya, Adam Nor Azlin yang sah menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi musim depan dan bersedia menggilap pemain muda akan yang menyertai skuad utama Selangor untuk musim baharu.

“Kita berjaya menyerlahkan potensi Adam pada musim ini, jadi kita akan terus melakukannya untuk pemain muda Selangor yang lain.

“Kebanyakan daripada mereka sudah menyertai latihan skuad utama musim ini, jadi saya rasa tiada masalah untuk mereka menyesuaikan diri pada musim hadapan.

“Kita akui Adam adalah seorang pemain yang baik dan menjadi tonggak pasukan itu, tetapi kita tidak boleh menghalang keinginan pemain yang mahukan cabaran baharu. Kita akan terus memberi peluang kepada pemain muda Selangor untuk menonjolkan potensi masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 3:05 PM