BADROL Hisham (kiri) akui KFA sedia buat rayuan semula. -Foto fail
BADROL Hisham (kiri) akui KFA sedia buat rayuan semula. -Foto fail
Petah Wazzan Iskandar


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) masih belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai status skuad Helang Merah, yang dikatakan terlepas slot untuk beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

Naib Presidennya, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata KFA sedia untuk membuat rayuan semula berhubung kriteria ditetapkan untuk mendapatkan lesen Piala AFC, sekali gus memastikan slot automatik selaku juara Piala FA kekal milik Kedah.

“Kita belum terima apa-apa makluman rasmi mengenainya dan sekiranya betul dan turut menerima hitam putih, rayuan akan dilakukan segera kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

“Kita faham semangat penyokong Helang Merah yang berkobar-kobar untuk menyaksikan skuad Kedah ke peringkat antarabangsa... apabila ini terjadi, ia memberi kerugian kepada pemain kita untuk merebut peluang bermain di peringkat lebih tinggi.

“Beraksi dalam saingan AFC adalah hasrat dan aspirasi penyokong Kedah untuk melihat pasukan kesayangan mereka bermain di peringkat Asia dan apa yang lebih penting, Piala AFC adalah platform pendedahan kepada pemain kita untuk bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan BH mengenai kegagalan KFA melepasi syarat Pelesenan Kelab FAM/AFC sehingga menyaksikan slot automatik ke Piala AFC 2018 milik Helang Merah diberikan kepada Pahang.

Berdasarkan peraturan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memenangi Liga Super dan Kedah selaku juara Piala FA musim ini, layak secara automatik untuk mengisi dua tempat mewakili Malaysia pada saingan Piala AFC musim depan.

Bagaimanapun, setakat ini hanya JDT saja yang memenuhi enam syarat pelesenan kelab dari AFC, manakala Kedah hanya memenuhi lima daripada enam syarat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:11 PM