EVRA mahu kembali dengan lebih hebat selepas selesai penggantungan. FOTO/AFP
EVRA mahu kembali dengan lebih hebat selepas selesai penggantungan. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Patrice Evra berikrar untuk kembali ‘lebih kuat berbanding sebelum ini’ dalam mesej umum pertamanya sejak meninggalkan Marseille selepas dikenakan penggantungan jangka panjang susulan tindakannya menyepak peminat.

Evra dibuang padang kerana menyerang peminat Marseille pada aksi Liga Europa menentang Vitoria Guimaraes, 2 November lalu yang menyaksikan kelab Ligue 1 itu tumbang 0-1.

Bekas pemain Manchester United itu menyatakan janjinya itu menerusi laman sosial Instagram yang memaparkan gambarnya sedang menarik kenderaan pacuan empat roda bersama bekas pemain Arsenal, Nicolas Anelka yang digelarnya “Spielberg” di Dubai.

“Saya bersumpah dengan nama tuhan saya akan kembali dengan lebih kuat berbanding sebelum ini,” kata bekas pertahanan kiri Perancis itu.

“Kadangkala anda boleh merasakan kehidupan amat berat tapi anda perlu sentiasa terus senyum dan sudah tentu terus mencintai sukan ini.”

Pemain berusia 36 tahun itu digantung selama tujuh bulan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan tindakan kurang wajarnya itu selain didenda 10,000 euro (RM48,000).

Begitupun, penggantungannya hanya tertakluk di bawah pertandingan membabitkan kelolaan badan induk itu sahaja bermakna dia masih boleh bermain di peringkat domestik jika ada kelab berhasrat mendapatkan khidmatnya.

Evra yang memiliki lima gelaran Liga Perdana Inggeris, dua Serie A dan Liga Juara-Juara berpisah dengan Marseille sejurus dikenakan penggantungan itu.

Serangan ala karate Evra hadir selepas sekelompok peminat Marseille datang ke tepi padang dan mengkritik persembahan kelab selatan Perancis itu yang dikatakan beraksi di bawah tahap sebenar.

Ahad lalu, penjaga gol Marseille Steve Mandanda tampil menyokong bekas rakan sepasukannya itu dengan menyifatkan Evra sebagai “sahabat sejati dan lelaki yang baik” manakala pengurus Perancis, Didier Deschamps menggambarkan hukumannya sebagai ‘berat.’

Pemilik kelab dari Amerika Syarikat, Frank McCourt menyalahkan kedua-dua pihak iaitu pemain dan peminat dengan melabelnya sebagai ‘sikap yang tidak boleh diterima’ dan ‘sesuatu yang kami tidak boleh tolak ansur di Marseille.’

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 2:13 PM