LATIFF (kiri) tolak tawaran pasukan lain.
LATIFF (kiri) tolak tawaran pasukan lain.
Malik Muhamad


BELUM pun saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini menutup tirainya proses memancing pemain sudah bermula dan kapten Terengganu, Latiff Suhaimi tidak terlepas diintai tiga pasukan untuk memperkuatkan pasukan mereka musim depan.

Senario itu sudah pasti boleh mengganggu persiapan sesebuah pasukan termasuk Terengganu yang berhajat untuk memburu juara Liga Perdana selepas mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan.

“Selepas berjaya membantu skuad Penyu melangkah ke Liga Super musim depan, saya dihubungi dua atau tiga pasukan Liga Perdana dan Liga Super untuk menyertai pasukan mereka tahun depan.

“Namun saya menolak tawaran itu kerana secara jujurnya masih sayang untuk meninggalkan Terengganu dan jika khidmat diperlukan saya mahu kekal kerana pihak pengurusan sentiasa menjaga kebajikan pemain.

“Bagaimanapun jika sekiranya ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim mengambil keputusan untuk berhijrah dengan pasukan lain musim depan, saya akan memikirkan semula kedudukan itu,” kata Latiff.

Bekas pemain tengah kebangsaan itu mengikat kontrak selama setahun bersama Terengganu musim ini dalam misi membantu skuad itu melayakkan diri ke Liga Super dan misi itu berjaya direalisasikan.

Mengulas mengenai kedudukan Irfan yang masih belum mendapat kata putus sama ada kekal atau sebaliknya, bekas pemain PDRM musim lalu itu mengharapkan jurulatih itu kekal bersama Terengganu musim depan.

“Secara jujur Irfan adalah tonggak utama kejayaan kami, beliau seorang yang tegas dan berwawasan, secara purata boleh saya katakan lebih 90 peratus pemain yang menyarung jersi skuad Penyu musim ini mahukan jurulatih itu kekal membimbing skuad itu musim depan.

“Selain itu peminat setia juga mahukan jurulatih itu kekal bersama Terengganu kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya membantu skuad Penyu layak ke Liga Super,” kata Latiff.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 3:47 PM