POPOV (kiri) enggan berkompromi selepas syaratnya tidak di persetujui KAFA. -Foto fail
POPOV (kiri) enggan berkompromi selepas syaratnya tidak di persetujui KAFA. -Foto fail
Attirmidzie Rahman


HASRAT bekas Jurulatih Kelantan, Velizar Popov, untuk kembali mengemudi pasukan itu tidak kesampaian apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak bersetuju dengan dua syarat yang ditetapkan beliau.

Antara syarat yang diletakkan Popov ialah beliau mahukan hak untuk memilih pemain tempatan dan import bagi memperkemaskan pasukan itu musim hadapan termasuk memilih sendiri kakitangan bagi membantunya dalam kejurulatihan.

Jurulatih berasal dari Bulgaria dalam Instagram miliknya, berkata sebelum ini beliau bersedia untuk berkompromi dengan KAFA untuk kembali menerajui The Red Warriors (TRW).

KAFA bagaimanapun tidak bersetuju dengan dua syarat diletakkan Popov biarpun menurut beliau ia tidak membabitkan soal kewangan.

“Malangnya, kami tidak dapat mencapai persetujuan mengenai kontrak baharu untuk 2018 kerana KAFA enggan menerima syarat yang paling penting dengan keadaan saya sebagai seorang jurulatih.

“Saya hanya mahu memilih sendiri kakitangan untuk membantu saya. Ia termasuk mengawal perpindahan pemain tempatan dan asing untuk masuk ke TRW.

“Ia bukan soal wang, saya sedia membuat kompromi mengenai perkara lain tetapi tidak dengan dua perkara penting ini untuk kerja saya.

“Jika saya tidak boleh membuat pilihan untuk memilih pemain import atau tempatan saya tidak boleh bekerja sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Maldives itu pernah mengetuai kejurulatihan TRW bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan K Devan pada pertengahan musim 2016.

Bagaimanapun, jodohnya bersama Kelantan tidak lama selepas beliau dilaporkan menolak tawaran kontrak KAFA bagi terus mengemudi pasukan itu bagi untuk musim 2017.

Di bawah kendaliannya, Kelantan berada pada kedudukan keempat Liga Super dengan lapan kemenangan, lima seri serta enam kekalahan selepas mengumpul 30 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 4:40 PM