Annuar minta penaja berminat taja Red Warriors berunding dengan KAFA. Foto fail NSTP
Annuar minta penaja berminat taja Red Warriors berunding dengan KAFA. Foto fail NSTP
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa meminta pihak penaja yang berhasrat menaja The Red Warriors (TRW) musim ini supaya tidak membincangkan sebarang perkara berkaitan penajaan di dalam media.

Beliau berkata, mana-mana penaja yang berhasrat menaja TRW perlulah berunding secara rasmi dengan KAFA terlebih dahulu jika mahu menetapkan syarat-syarat yang dikehendaki mereka.

Katanya, ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang salah faham yang boleh timbul jika ia disiarkan menerusi media termasuk boleh menganggu rundingan dengan penaja lain.

"Saya rayu perkara ini dihormati oleh semua pihak bagi mengelak sebarang salah faham terutama jika isu berkenaan agak sensitif.

"Saya fikir perkara (syarat yang ditetapkan oleh Datuk Seri Vida) itu mungkin tidak rasmi lagi kerana pihak KAFA masih berbincang dengannya mengenai tajaan dan saya harap, perkara itu tidak diperbesar-besarkan lagi," katanya dalam kenyataan di Facebooknya (FB).

Beliau berkata sebagai mengulas mengenai Datuk Seri Vida yang menetapkan dua syarat kepada KAFA sebelum bersedia menaja badan induk itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.

Antara syarat itu adalah Stadium Sultan Muhammad ke IV ditukar kepada merah jambu dan nama baru skuad Kelantan didahului dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:41 PM