BIBI (kanan) sudah berhubung dengan Popov.
BIBI (kanan) sudah berhubung dengan Popov.
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) berjanji akan membayar tunggakan gaji bekas jurulatih, Velizar Popov sebelum tarikh tutup rayuan untuk kelulusan pelesenan kelab, 15 Oktober ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pihaknya sudah menghubungi jurulatih kelahiran Bulgaria mengenai perkara itu dan tunggakan gajinya akan dibayar menggunakan wang tajaan daripada penaja musim ini.

Berikutan itu, katanya, KAFA menuntut pihak penaja membayar baki wang tajaan bagi mempercepatkan bayaran tunggakan itu kepada jurulatih berkenaan.

“Setakat ini, hanya sebahagian wang tajaan diberikan oleh penaja, jadi kita harap penaja melunaskan bakinya bagi membolehkan kita membayar tunggakan gaji Popov serta beberapa pemain import termasuk bekas tonggak pertahanan, Jonathan Mc Kain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai hasrat Popov yang mahu kembali bersama TRW pada musim hadapan, Bibi Ramjani berkata dia tidak mahu membuat keputusan terburu-buru mengenai perkara itu sebaliknya mahu meneliti semula kemampuan jurulatih berusia 41 tahun itu.

Katanya, walaupun rata-rata penyokong mahu melihat perkara itu berlaku kerana prestasi Popov diyakini mampu menaikkan pasukan musim hadapan tetapi baginya ia masih meragukan.

“Kalau ikut peminat semua mereka mahu, tetapi saya enggan membuat keputusan terburu-buru sebaliknya mahu meneliti terlebih dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Bibi Ramjani mahu memperbetulkan tanggapan penyokong yang mengatakan semua hutang KAFA diselesaikan menggunakan wang peribadinya.

“Itu tanggapan salah dan sebenarnya sebahagian daripada hutang lama KAFA kita bayar dengan gunakan wang daripada penaja serta wang KAFA sebelum ini.

“Saya hanya gunakan wang peribadi untuk bayar gaji pemain yang masih bersama dengan The Red Warriors (TRW).

Tindakan ini demi menaikkan semangat pemain supaya mereka tidak dibelenggu dengan masalah kewangan selain mahu memastikan mereka dapat beraksi dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:47 PM