HAFIZH yang bermula di petak ke-11 mampu tempatkan diri dalam kelompok depan untuk dapatkan penamat terbaik. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
HAFIZH yang bermula di petak ke-11 mampu tempatkan diri dalam kelompok depan untuk dapatkan penamat terbaik. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Saiful Affendy Sapran dan Khairil S Iswan dan Fadhli Ishak

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di tempat keenam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Bermula di petak ke-11, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu dilihat mampu menempatkan dirinya dalam kelompok depan dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan penamat terbaik apabila beraksi agresif pada dua pusingan terakhir.

Dengan penamat keenam itu, Hafizh yang bakal beraksi bersama pasukan baru, PETRONAS Sprinta Racing musim depan, meraih 10 mata berharga.

Perlumbaan dimenangi oleh Miguel Oliveira dari Red Bull KTM Ajo dengan rakan sepasukannya, Brad Binder kedua.

Franco Morbidelli dari Marc VDS yang sudah pun mengesahkan kejuaraan dunia sebelum bermulanya perlumbaan selepas pencabar utama, Thomas Luthi (CarXpert Interwetten) disahkan tidak cergas untuk turun berlumba berikutan terjatuh pada sesi kelayakan semalam, meraih tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 2:58 PM