Hafizh mahu perbaiki pencapaian pada perlumbaan di Amerika Syarikat hujung minggu ini. FOTO FAIL NSTP
Hafizh mahu perbaiki pencapaian pada perlumbaan di Amerika Syarikat hujung minggu ini. FOTO FAIL NSTP

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin berusaha mengulangi prestasi yang dipamerkannya di Circuit of the Americas (COTA) Texas, Amerika Syarikat pada tahun lalu pada pusingan ketiga Kejohanan Grand Prix Dunia Moto2, hujung minggu ini.

Pelumba Petronas Talent Development yang menduduki tempat keenam dalam Grand Prix Argentina minggu lalu berkata perlumbaan kali ini bukan mudah buatnya. Bagaimanapun, dia yakin mampu memberi cabaran kepada pelumba hadapan di litar sepanjang 5.5 km itu.

"Saya bertekad untuk beraksi dengan baik dan mengulangi prestasi tahun lalu. Kami perlu segera mendapatkan pelarasan jentera yang terbaik dan mampu memberi saingan," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan pasukannya, Petronas Raceline Malaysia hari ini.

"Saya melakukan kesilapan di dalam perlumbaan minggu lalu apabila tersalah kira baki pusingan perlumbaan. Saya akan pastikan ia tidak akan berlaku lagi," kata Hafizh.

Pelumba berusia 21 tahun itu menduduki tempat keenam di litar COTA pada 2015 sekalipun berlepas daripada petak ke-15 yang merupakan pencapaian terbaiknya dalam keadaan litar kering.

Hafizh kini berada di tempat keempat keseluruhan dalam Moto2 dengan 23 mata, 11 mata di belakang pendahulu pelumba Switzerland Thomas Luthi (pasukan Garage Plus Interwetten) yang mengutip 34 mata selepas dua perlumbaan. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 4:31 PM