KUALA Lumpur ( baju hijau) tekad tamat kemarau kejohanan selama 17 tahun. -Foto fail
KUALA Lumpur ( baju hijau) tekad tamat kemarau kejohanan selama 17 tahun. -Foto fail
Devinder Singh


FABIO Maciel menggesa pemain-pemain Kuala Lumpur kendaliannya supaya tidak melepaskan peluang untuk mengakhiri kemarau 17 tahun kejuaraan pada perlawanan terakhir musim ini esok.

Kuala Lumpur bertandang ke laman Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Pasir Gudang dan memerlukan kemenangan ke atas penghuni tangga kelima Liga Perdana itu bagi mengesahkan kejuaraan.

Kuala Lumpur kini mempunyai kelebihan perbezaan jaringan ke atas Terengganu di tangga kedua, yang akan bertemu Perak SEDC di Ipoh.

Kali terakhir Kuala Lumpur menjulang trofi ialah ketika Piala Sumbangsih 2000, dan musim ini selepas memenangi 12 daripada 13 perlawanan liga, mereka berpeluang memenangi satu lagi kejuaraan.

“Ia perlawanan yang penting kerana sudah lama Kuala Lumpur tidak memenangi trofi,” kata Maciel yang berjaya mengubah nasib skuad warga kota itu sejak mengambil alih pasukan April lalu.

“Kami mencapai objektif pertama dengan mengesahkan tempat ke Liga Super tahun depan tetapi kini kami mempunyai satu lagi perlawanan untuk memenangi liga.

“Pada awalnya, saya beritahu pemain-pemain yang kita perlu komited untuk berada di tangga teratas dan kemudian baru kita lihat sama ada mampu bersaing untuk kejuaraan. Kami menghormati pasukan-pasukan lain tetapi kami sedar apa yang perlu dilakukan sekarang.”

Kuala Lumpur hanya perlu menyamai keputusan Terengganu ke atas Perak SEDC untuk muncul juara, tetapi kemenangan di Pasir Gudang akan menutup kemungkinan lain.

Bagaimanapun Kuala Lumpur terpaksa bermain tanpa kelibat pemain tengah dari Argentina, Nicola Dul yang patah pergelangan tangan ketika menentang Sabah 26 September lalu.

Zhafri Yahya dijangka bergandingan dengan Naim Nazmi Zainuddin di bahagian tengah dan Ashri Chu Chu menyokong di bahagian sayap.

Penyerang Guilherme De Paula, yang meledak 29 gol dalam semua pertandingan musim ini, hanya memerlukan satu lagi untuk menyamai rekod kelab yang dipegang rakan senegara dari Brazil, Marcelo Padilha Da Rocha yang meledak 30 gol pada tahun 2004.

“Semua pemain sudah bersedia kecuali Dul yang mengalami kecederaan pergelangan tangan,” kata Maciel. “Kami datang ke sini (Pasir Gudang) pada Rabu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini dan melakukan persiapan bagi perlawanan terakhir kami tahun ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 2:45 PM