FADHLI (dua kanan) ketika menjalani latihan bersama Sri Pahang. FOTO Sri Pahang FC
FADHLI (dua kanan) ketika menjalani latihan bersama Sri Pahang. FOTO Sri Pahang FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bintang baharu Sri Pahang FC (SPFC), Mohd Fadhli Mohd Shas bertekad ingin menaikkan kembali maruah skuad Tok Gajah di pentas Liga Malaysia pada musim 2023.

Baginya, Sri Pahang mempunyai ramuan yang mencukupi bagi menghadirkan saingan sengit kepada pasukan lain setelah mengetahui pemain-pemain yang bakal menguatkan cabaran pasukan.

"Memang saya ada menerima beberapa tawaran lain tetapi akhirnya saya buat keputusan bersama Sri Pahang kerana yakin pasukan dilihat cukup serius untuk kembali bangkit menjadi pencabar.

"Saya teruja dengan perancangan pasukan dengan melihatkan kehadiran muka-muka baharu, saya rasa Sri Pahang mampu menjadi salah satu pencabar kejuaraan.

"Malah, ada beberapa pemain di sini saya turut kenali seperti Muslim Ahmad, yang juga adalah gandingan saya ketika memenangi pingat emas Sukan Sea dan Piala AFF," katanya.

Berusia 31 tahun, Fadhli adalah produk Harimau Muda, telah bersama JDT selama 8 musim iaitu bermula 2014 sehingga 2021 sebelum ke Melaka secara pinjaman pada musim lalu.

Dia menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan tengah apabila dari 22 perlawanan Liga Super, Fadhli diturunkan dalam 15 aksi dalam kesebelasan utama dan hanya sekali selaku pemain gantian.

Selain Fadhli, Sri Pahang turut mengumumkan pertahanan kiri, Syazwan Andik, pada Rabu, yang dipinjamkan dari JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 5:14 PM