Devinder Singh

PENDATANG baru Kuala Lumpur mahu mendapatkan khidmat pemain tengah menyerang dari Brazil, Everton Heleno (gambar) untuk mengisi salah satu kuota pemain import bagi kempen Liga Super musim depan.

Heleno akan menggantikan pemain tengah Argentina, Nicolas Dul yang tidak dikekalkan manakala pemain dari Mali, Modibo Konte yang menghabiskan separuh musim lalu beraksi dengan Perlis secara pinjaman turut dilepaskan.

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel berminat untuk memancing Heleno, 26, yang kini beraksi dengan kelab Brazil Serie A kerana gaya permainannya seperti bintang Barcelona Paulinho.

“Kami akan membawa masuk pemain dari Brazil dan dia pemain tengah menyerang yang hebat. Gaya permainannya seperti Paulinho,” kata Maciel yang membantu Kuala Lumpur menjuarai Liga Perdana selepas dilantik sebagai jurulatih pada April lalu.

“Heleno boleh bertahan dan menjaringkan gol jadi kehadirannya akan memantapkan pasukan. Dengan kombinasi pemain baru tempatan, saya fikir kami akan mempunyai pasukan yang bagus untuk bersaing dalam Liga Super tahun depan.”

Penyerang Guilherme De Paula sudah menyambung kontrak baru bersama Kuala Lumpur selepas meledak 30 gol dalam semua pertandingan manakala pemain tengah, Paulo Josue juga masih berada dalam perancangan pasukan.

Skuad The City Boys juga turut mengadakan perbincangan dengan pemain pertahanan Uzbekistan, Boburjon Akbarov bagi kontrak baru selepas mereka menggugurkan empat pemain tempatan.

Penjaga gol Remezey Che Ros, pertahanan Naufal Naim Tony Rosdin, pemain tengah Syazmin Firdaus Aminuddin dan penyerang Arif Anwar turut bersama Dul serta Modibo yang ditunjukkan jalan keluar oleh pihak pengurusan Kuala Lumpur.

Mereka mengisi kekosongan itu dengan mengikat kontrak pemain pertahanan kiri Kedah, Fitri Omar serta sedang membuat tawaran kepada pemain tengah kelahiran Australia, Brendan Gan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 4:00 PM