VINGADA (tengah) turut kecewa dengan kekalahan kepada Hong Kong. -Foto Reuters
VINGADA (tengah) turut kecewa dengan kekalahan kepada Hong Kong. -Foto Reuters
Firdaus Hashim di Hong Kong


NELO Vingada enggan memikirkan soal meletakkan jawatan selepas melihat skuad Harimau Malaya terus gagal menamatkan badi kemenangan, apabila tewas lagi, 0-2 kepada Hong Kong dalam Kelayakan Piala Asia 2019 di sini, malam tadi.

Sentuhan ‘magis’ Vingada yang diharapkan sejak mengambil alih tugas pengendali terdahulu, Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu masih belum muncul apabila gagal menghadiahkan sebarang keputusan positif dalam lima aksi antarabangsa setakat ini.

Ia termasuklah aksi di pusingan kelayakan Kumpulan B itu serta perlawanan persahabatan.

“Semua pihak boleh bercakap macam-macam mengenai pasukan atau diri saya sebagai jurulatih.

“Ia, saya tahu perasaan sesetengah peminat yang kecewa melihat pasukan kesayangan mereka tewas. Bukan anda (peminat) saja kecewa, saya juga kecewa dengan keputusan ini.

“Peminat tidak boleh mengharapkan keajaiban serta merta daripada saya dan pemain yang ketika ini sedang melalui proses pembaikan, apabila lebih ramai pemain muda diberi peluang. Saya takkan berputus asa.

“Untuk memikirkan soal tinggalkan pasukan, sudah semestinya jauh sekali. Tugas saya belum selesai dan saya optimis kami akan tampil lebih mantap menjelang saingan Piala AFF penghujung tahun depan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Vingada, bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan setakat ini masih mencari kemenangan pertama selepas kalah 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam dua aksi awal kelayakan Piala Asia yang berlangsung di Larkin dan Melaka sebelum ini.

Harimau Malaya juga tewas 1-2 di tangan Syria dan Myanmar (0-1) dalam aksi persahabatan.

Kekalahan kepada Hong Kong di Stadium Hong Kong meletakkan Malaysia kekal di tangga tercorot kumpulan, dengan satu mata dan berdepan tugas lebih sukar apabila bertandang ke Lubnan selain dua aksi timbal balik berdepan Korea Utara nanti.

“Saya bukannya mahu memberi alasan tetapi sudah beberapa persiapan kami sering tergendala apabila pemain yang dipanggil sering mengalami kecederaan atau masalah peribadi.

“Sekiranya saya mampu membariskan skuad terbaik mungkin keputusan lebih positif boleh diraih dalam aksi berikutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 2:02 PM