BERLIN: Pierre-Emerick Aubameyang mencatat hatrik membantu Borussia Dortmund membelasah Borussia Moenchengladbach 6-1 untuk kekal di puncak carta Bundesliga, awal pagi tadi.
Gladbach tidak mempunyai jawapan terhadap kehebatan Dortmund kendalian Peter Bosz, yang mencipta jurang dua mata di depan Hoffenheim di tangga teratas sekali gus mencetus keyakinan sebelum menentang juara bertahan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara, Selasa ini.
Aubameyang, penjaring terbanyak liga utama Jerman musim lalu, kini menyumbat lapan gol dalam enam aksi liga, satu gol di depan pencabar utamanya Robert Lewandowski dari Bayern Munich.
Pemain sayap kiri Maximilian Philipp meledak dua gol pertama Dortmund (minit ke-28 dan 38) sebelum hatrik Aubameyang (m-45, 49 dan 62) dengan pemain tengah bertahan Julian Weigl (m-79) menjaringkan gol keenam menakjubkan.
“Kami terlalu dominan. Ia perlawanan yang tegang dan sudah tentu kami berpuas hati,” kata Philipp, yang turut meledak dua gol menentang Cologne hujung minggu lalu.
Weigl gembira menjaringkan gol dalam aksi keduanya sejak kembali daripada kecederaan.
“Berasa hebat, gol itu terlalu menyeronokkan,” ujar pemain tengah Jerman itu.
“Kami bernasib baik Gladbach tidak menggunakan peluang mereka dan biasanya mereka mempunyai kualiti untuk menangani masalah.”
Selepas pasukan tangga ketiga Bayern mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum seri 2-2 di laman sendiri menentang Wolfsburg Jumaat lalu, Dortmund kini tiga mata di depan juara bertahan itu.