AUBAMEYANG (kanan) ledak hatrik.
AUBAMEYANG (kanan) ledak hatrik.
AFP

Berlin: Hatrik Pierre-Emerick Aubameyang dan dua gol Robert Lewandowski menyaksikan Borussia Dortmund dan Bayern Munich layak ke pusingan kedua Piala Jerman, semalam.

Juara bertahan Dortmund menang mudah 4-0 ke atas kelab kerdil divisyen enam Riesalingen-Arlen manakala Bayern membelasah kelab divisyen tiga Chemnitz 5-0.

Sepakan percuma yang terbias menyaksikan Lewandowski membuka tirai jaringan buat Bayern selepas hanya 20 minit dengan juara Bundesliga itu meledak sekali lagi menerusi serangan balas pantas sebaik selepas rehat apabila Kingsley Coman menyumbat gol.

PEMAIN Chemnitz, Tom Scheffel (kanan) mengekang Lewandowski.
PEMAIN Chemnitz, Tom Scheffel (kanan) mengekang Lewandowski.

Pembelian termahal Corentin Tolisso mencipta gol ketiga Bayern, melakukan hantaran leret yang ditampan masuk Lewandowski bagi gol kedua peribadinya.

Ketika kemenangan sudah pasti, Franck Ribery menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-79 dan Mats Hummels menanduk masuk gol kelima Bayern sebaik sebelum wisel penamat.

“Apa yang paling penting hari ini kami layak ke pusingan kedua,” kata Lewandowski.

“Selalunya penting untuk menjaringkan gol pertama dan ia tidak selalunya mudah. Kami tidak banyak mendapat ruang hari ini, Chemnitz bermain secara bertahan.”

Dortmund mendominasi sejak awal apabila pertahanan Marc Bartra memberikan pasukan kendalian Peter Bosz gol pendahuluan pada minit ke-12 dan Aubameyang menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti sebaik sebelum rehat.

Aubameyang menyumbat gol keduanya dengan sepakan lambung melepasi jangkauan penjaga gol Dennis Klose pada minit ke-55 dan melengkapkan hatrik 10 minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 11:24 AM