PEMAIN Dortmund meraikan kemenangan ke atas Cologne. -Foto Reuters
PEMAIN Dortmund meraikan kemenangan ke atas Cologne. -Foto Reuters
AFP

BERLIN: Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat dua gol dalam tempoh seminit untuk membantu Borussia Dortmund kembali ke puncak Bundesliga Jerman awal pagi tadi selepas menang besar 5-0 ke atas Cologne, yang berang dengan satu gol kontroversi.

Sesudah tumpas kepada Tottenham Hotspur pada pertengahan minggu dalam Liga Juara-Juara, Dortmund memerlukan hanya 111 saat untuk mendahului di laman sendiri.

Pemain tengah Andrey Yarmolenko melakukan hantaran lintang yang ditanduk masuk pemain baru Maximilian Philipp.

AUBAMEYANG (kanan) cuba lepasi kawalan pemain Cologne. -Foto Reuters
AUBAMEYANG (kanan) cuba lepasi kawalan pemain Cologne. -Foto Reuters

Pada masa kecederaan babak pertama, penjaga gol Cologne, Timo Horn menumbuk keluar satu hantaran silang dan pertahanan Sokratis Papastathopoulos menampan masuk bola muntah untuk menjadikan kedudukan 2-0 ketika rehat.

Pemain dan pegawai Cologne berang serta membantah keras ketika ulang tayang menyaksikan wisel ditiup sebelum gol itu dijaringkan namun ia kekal selepas dirujuk video pembantu pengadil (VAR).

“Kami tidak akan menandatangani log perlawanan dan akan membuat bantahan serta-merta,” kata pengurus Cologne, Joerg Schmadtke.

“Jelas ia satu keputusan silap yang menentukan perlawanan ini.”

Aubameyang menyumbat penalti selepas VAR mengesan kesalahan memegang bola pada minit ke-59 dan 58 saat kemudian penyerang Gabon itu meledak gol keduanya selepas menyambut hantaran Lukasz Piszczek.

Aubameyang, penjaring gol terbanyak Bundesliga musim lalu, kini mengumpul empat gol dalam empat aksi liga, satu gol di belakang penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Philipp kemudian meraih gol keduanya pada perlawanan itu dengan satu lambungan cantik bagi melengkapkan tiga gol Dortmund dalam tempoh 10 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 11:36 AM