AFP

BERLIN: Borussia Dortmund menyasarkan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri menentang Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini sekali gus mencacatkan penampilan ke-150 Cristiano Ronaldo di Eropah.

Dortmund dan penyandang juara Real bertemu pada peringkat kumpulan bagi tahun kedua berturut-turut.

Kedua-dua pasukan seri kedua-dua perlawanan 2-2 musim lalu ketika pasukan Jerman itu muncul juara kumpulan sebelum tersingkir pada suku akhir manakala Real melakar kejuaraan dengan rekod kali ke-12.

Dortmund menang tiga dan seri tiga kali pertembungan mereka di Signal Iduna Park, termasuk kemenangan menakjubkan 4-1 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara 2013 apabila Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan semua empat gol.

Juara bertahan Real membuka kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan 3-0 di laman sendiri ke atas APOEL Nicosia manakala Dortmund mengalami kekalahan 1-3 di Tottenham Hotspur dua minggu lalu.

Tugas utama kelab Jerman itu adalah mengekang pemenang Ballon d’Or empat kali Ronaldo, yang sudah menjaringkan 110 gol dalam pertandingan Eropah namun gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi terakhirnya.

Bintang Portugal itu antara tiga calon terakhir bagi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2017 dan pemenang akan diumumkan pada 23 Oktober depan.

GOETZE (kanan) akui berdepan tugas getir menjelang pertemuan dengan Real. - Foto EPA
GOETZE (kanan) akui berdepan tugas getir menjelang pertemuan dengan Real. - Foto EPA

Dortmund bersiap sedia menghadapi perlawanan besar itu dengan membelasah Borussia Moenchengladbach 6-1 dalam liga Jerman Sabtu lalu apabila Aubameyang menyumbat hatrik.

Penyerang Gabon itu kini menjaringkan lapan gol dalam enam aksi liga.

Dia sudah membentuk persefahaman jitu yang dipanggil ‘Philameyang’ oleh media Jerman bersama pemain sayap kiri Maximilian Philipp, yang meledak empat gol dalam tiga perlawanan terakhir.

“Semuanya kini semakin bagus,” kata pemenang Piala Dunia dari Dortmund, Mario Goetze, yang kembali menemui sentuhan selepas mengalami masalah metabolisme, berikutan kemenangan ke atas Gladbach.

“Bagaimanapun kami sedar ia satu tugas getir menentang Real, Selasa ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 1:49 PM