PEMAIN Chemnitz Tom Scheffel (kanan) mengasak  Lewandowski.
PEMAIN Chemnitz Tom Scheffel (kanan) mengasak Lewandowski.
AFP

Berlin: Jaringan hatrik Pierre-Emerick Aubameyang dan dua gol sumbangan Robert Lewandowski menyaksikan Borussia Dortmund dan Bayern Munich masing-masing mara ke pusingan kedua Piala Jerman semalam.

Juara bertahan Dortmund mencatat kemenangan mudah 4-0 ke atas pasukan divisyen keenam Riesalingen-Arlen, manakala Bayern menang 5-0 ke atas kelab divisyen ketiga Chemnitz.

Lewandowski membuka jaringan buat Bayern selepas 20 minit menerusi sepakan percuma sebelum juara Bundesliga itu menggandakan jaringan menerusi serangan balas pada separuh masa kedua menerusi Kingsley Coman.

Pemain baru Corentin Tolisso membantu jaringan ketiga Bayern melakukan hantaran rendah ke arah Lewandowski untuk gol keduanya pada hari ini.

Meneruskan rentak kemenangan, Franck Ribery meledak gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-79 manakala Mats Hummels menanduk jaringan kelima Bayern sebelum wisel terakhir.

“Perkara paling penting hari ini adalah mara ke pusingan kedua,” kata Lewandowski.

“Adalah penting untuk menjaringkan gol pertama dan ia tidak selalunya mudah. Kami tidak mempunyai banyak ruang hari ini, Chemnitz bermain secara bertahan.”

Dortmund mendominasi sejak wisel pertama apabila pertahanan Marc Bartra memberikan pasukan kendalian Peter Bosz gol awal pada minit ke-12 dan Aubameyang menjadikan kedudukan 2-0 menerusi penalti sebelum tamat separuh masa pertama.

Aubameyang menjaringkan gol kedua melepasi penjaga gol Dennis Klose pada minit ke-55 dan melengkapkan hatrik 10 minit sebelum tamat permainan.

“Saya benar-benar gembira dengan kemenangan ini,” kata Aubameyang.

“Kami laksanakan apa yang dirancang. Ia bukan aksi terbaik kami tetapi secara keseluruhannya, kami boleh bergembira dengan apa yang dilakukan hari ini.”

Hoffenheim, bagaimanapun gagal mempamerkan aksi meyakinkan menjelang aksi pertama play-off Liga Juara-Juara menentang Liverpool awal pagi Rabu.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann bergelut sebelum menang 1-0 ke atas pasukan divisyen ketiga Rot-Weiss Erfurt. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 12:14 PM