KOUYATE (dua dari kiri) jaring gol penyamaan buat West Ham. -Foto AFP
KOUYATE (dua dari kiri) jaring gol penyamaan buat West Ham. -Foto AFP
Reuters

LONDON: West Ham mengutip mata pertama Liga Perdana Inggeris di bawah pengendali baharu David Moyes selepas bangkit untuk mengikat Leicester 1-1 di Stadium London sebentar tadi.

Ketika Mark Noble digugurkan di bahagian tengah, West Ham menampilkan permulaan paling buruk selepas tujuh minit dalam penampilan pertama Moyes apabila Marc Albrighton membuka jaringan untuk Leicester hasil hantaran Jamie Vardy.

Moyes bagaimanapun menarik nafas lega apabila skuad kendaliannya bangkit menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi tandukan Cheikhou Kouyate - gol sulung West Ham yang dijaringkan dalam babak pertama permainan selepas sembilan perlawanan.

Andre Ayew menggantikan Marko Arnautovic di pertengahan babak kedua dan menyaksikan permintaannya untuk sepakan penalti tidak dipedulikan pengadil selepas dia dikasari Harry Maguire.

 Aina Abdul.
Aina Abdul.

West Ham kini masih belum merakam sebarang kemenangan dalam enam perlawanan liga dan kekal bergelut dalam zon penyingkiran di tangga ke-18.

Penjaga gol West Ham, Joe Hart bagaimanapun percaya, persembahan itu dan reaksi positif penyokong menjadi tanda aras baru pasukan pada masa akan datang.

“Apabila mendapat sokongan, kami bermain dengan lebih baik,” kata Hart. “Ia mungkin berakhir secara berbeza apabila kami dibolosi, tapi ia begitu menakjubkan. Penyokong memilih untuk terus bersama kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 1:35 PM