PEMAIN Dortmund meraikan kemenangan ke atas Hamburg. -Foto AFP
PEMAIN Dortmund meraikan kemenangan ke atas Hamburg. -Foto AFP
AFP

BERLIN: Borussia Dortmund kembali ke tangga teratas Bundesliga awal pagi tadi selepas menang mudah 3-0 ke atas Hamburg dengan bintang Jepun, Shinji Kagawa turut menyumbang gol.

Kagawa memberikan Dortmund gol pendahuluan dari jarak dekat pada minit ke-25 dan kedua-dua Christian Pulisic dan Andriy Yarmolenko berpeluang menggandakan kelebihan sebelum rehat.

Selepas sejam, bagaimanapun Yarmolenko meluru menerusi satu serangan balas pantas untuk mencipta gol buat Pierre-Emerick Aubameyang.

Penyerang Gabon itu menampan masuk bola dari jarak kurang satu meter di depan gol, meledak gol keempatnya dan tidak diragui gol paling mudah setakat ini musim ini.

“Kami bermula seperti pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan pada permulaan perlawanan,” kata penjaga gol Dortmund, Roman Burki. “Amat penting kami meraih gol kedua.”

Pemain kebangsaan AS, Pulisic memastikan kemenangan pada minit ke-80, menyumbat gol ketiga Dortmund dari dalam kotak penalti.

“Ia bukannya perlawanan mudah hari ini kerana Hamburg asyik menekan kami,” kata jurulatih Dortmund, Peter Bosz. “Hanya pasukan bagus boleh menang perlawanan sebegini dan kami berhak menang hari ini.”

Dortmund, yang belum dibolosi sebarang gol dalam lima perlawanan musim ini, kini satu mata di depan Bayern Munich, yang kekal di tangga kedua selepas Hanover gagal menang di Freiburg.

Kelab pendatang baru itu kekal tanpa kalah musim ini namun dinafikan peluang untuk mengatasi Bayern oleh gol penyamaan lewat permainan Nils Petersen memaksa keputusan seri 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 11:50 AM