LEWANDOWSKI (tengah) rai gol jaringannya bersama rakan sepasukan. - Foto EPA-EFE
LEWANDOWSKI (tengah) rai gol jaringannya bersama rakan sepasukan. - Foto EPA-EFE
AFP

BERLIN: Robert Lewandowski meledak hatrik ketika membantu Bayern Munich membelasah bekas kelabnya Borussia Dortmund 6-0, awal pagi tadi tetapi gergasi Bavarian itu perlu menunggu hingga minggu depan untuk meraikan kejuaraan keenam berturut-turut Bundesliga.

Lewandowski membuka tirai jaringan Bayerm seawal minit kelima perlawanan tetapi penyerang Poland itu boleh dianggap bernasib baik apabila golnya tidak dibatalkan susulan ofsaid.

Beberapa minit kemudian, pemain kelahiran Perancis, Franck Ribery berjaya memperoleh gol tetapi ia dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Begitupun, jaringan itu seolah-olah meningkatkan semangat Bayern yang kemudian menyumbat empat lagi gol sebelum babak pertama berakhir bermula pada minit ke-14 menerusi James Rodriguez diikuti gol Thomas Muller selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Seminit sebelum babak pertama tamat, gerakan bijak Ribery berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Dortmund sebelum melakukan hantaran baik kepada Lewandowski yang menyumbat gol kedua peribadinya.

Di masa kecederaan, Ribery akhirnya meletakkan namanya selaku penjaring untuk kali kelima penjaga gol Dortmund, Roman Burki ditewaskan.

“Kami betul-betul seperti tidak ada pada hari ini,” kata pertahanan Dortmund, Marcel Schmelzer. “Bayern memainkan permainan kucing mengejar tikus terhadap kami. Ia sesuatu yang memalukan, dan saya tidak boleh menerimanya.”

Perlawanan pada babak kedua berlangsung agak hambar tetapi ia tidak menghalang Bayern daripada menambah jaringan dengan Lewandowski melengkapkan hatriknya tiga minit sebelum permainan tamat berpunca daripada hantaran Joshua Kimmich.

“Saya berada di sini ketika kekalahan 1-5 (Dortmund) sebelum ini, jadi saya tahu betapa sakitnya ia,” kata pertahanan Bayern yang juga bekas pertahanan Dortmund, Mats Hummels.

Begitupun, Bayern tidak dapat meraikan kemenangan besar itu sepenuhnya apabila pasukan tangga kedua, Schalke turut meraih kemenangan 2-0 ke atas Freiburg.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 9:33 AM