REAL seri dua perlawanan terakhir liga.
REAL seri dua perlawanan terakhir liga.
Reuters

Dortmund, Jerman: Juara Eropah Real Madrid berkunjung ke Borussia Dortmund untuk aksi Kumpulan F Liga Juara-Juara awal pagi esok dalam keadaan separuh mati dengan permulaan megah mereka musim ini terjejas akibat dua keputusan seri berturut-turut.

Real membiarkan lawan menyamakan kedudukan 2-2 di Las Palmas Sabtu lalu selepas meraih 16 kemenangan berturut-turut di La Liga sebelum disekat dengan keputusan seri 1-1 dengan Villarreal Rabu lalu yang menyaksikan kedudukan mereka sebagai pendahulu kini hanya berkelebihan satu mata.

Sementara itu Dortmund berada pada tahap terbaik mereka sejak tewas kepada RB Leipzig pada 10 September, meledak 20 gol dalam empat perlawanan berturut-turut ke atas Legia Warsaw dalam Liga Juara-Juara serta Darmstadt, Wolfsburg dan Freiburg di Bundesliga.

Dortmund, yang membelasah kelab Poland itu 6-0 di tempat lawan pada perlawanan peringkat kumpulan, berada di tangga kedua liga utama Jerman dan Jumaat lalu menyamai rekod kelab dengan 24 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri pada aksi Bundesliga hasil kemenangan 3-1 ke atas Freiburg.

Biarpun Real menikmati siri kemenangan, skuad Zinedine Zidane dikritik hebat media hasil aksi kurang meyakinkan dan akibatnya mereka dihukum Las Palmas pada aksi La Liga sebelum ini.

Pemain tengah Tana menyumbat gol apabila pertahanan Real, Raphael Varane gagal mengeluarkan bola untuk menyamakan jaringan pembukaan Marco Asensio dan selepas Karim Benzema kembali meletakkan Real di depan, Sergio Araujo menyusup dari kawasan kiri gawang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-85.

Aksi hambar Real semakin parah dengan ketiadaan pemain tengah Casemiro dan bek kiri berpengaruh Marcelo akibat kecederaan dan prestasi semasa bintang handalan Cristiano Ronaldo.

Ronaldo berdepan permulaan sukar musim ini, hanya menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan termasuk ketika menentang bekas kelabnya Sporting ketika Real menang 2-1 di laman sendiri untuk perlawanan pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan tidak beraksi tiga perlawanan berikutan kecederaan dan masalah kesihatan.

Dia kelihatan berang apabila digantikan Zidane sewaktu perlawanan berbaki 18 minit di Las Palmas.

Penyerang Alvaro Morata bagaimanapun berkata, masih banyak sebab untuk bersikap optimis.

“Kami masih belum kalah dan masih di puncak liga. Perkara paling penting adalah bagaimana anda menamatkannya dan kami perlu menang semua perlawanan yang mampu,” katanya.

“Kami perlu terus bekerja keras dan kini fokus kepada Liga Juara-Juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 8:55 AM