RAMOS (kanan) jaring gol kemenangan Real.
RAMOS (kanan) jaring gol kemenangan Real.
AFP

Madrid: Kapten Real Madrid Sergio Ramos menjaringkan gol kemenangan lewat permainan sekali lagi ketika juara Eropah itu memintas Barcelona di puncak La Liga dengan kemenangan 2-1 ke atas Real Betis, awal pagi semalam.

Sebelum itu pengurus Barca Luis Enrique mengakui pasukannya bergelut untuk melupakan keseronokan mencetus kebangkitan Liga Juara-Juara ke atas Paris Saint-Germain apabila juara Sepanyol itu dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Deportivo la Coruna.

Kemenangan Madrid melonjakkan mereka dua mata mengatasi Barcelona dengan kelebihan kurang beraksi satu perlawanan.

“Saya pasti lebih gembira jika kami menjaringkan dua atau tiga gol pada awal permainan,” kata jurulatih Real Zinedine Zidane.

“Namun kami kekal tenang kerana sedar kami boleh menjaringkan gol pada setiap saat.”

Bagaimanapun kemenangan Madrid dicemari kontroversi apabila penjaga gol Keylor Navas bernasib baik kerana berjaya mengelak kad merah awal sebelum berjaya menyelamatkan percubaan Antonio Sanabria pada saat akhir.

Navas jelas sekali menghalang gerakan Darko Brasanac yang masuk ke kawasan Madrid apabila penjaga gol itu meluru keluar dari kawasan gol selepas 20 minit namun pengadil Antonio Mateu Lahoz mengarahkan permainan diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 7:40 AM