MESSI (kanan) jaring gol selepas tiga minit dimasukkan.
MESSI (kanan) jaring gol selepas tiga minit dimasukkan.
AFP

Madrid: Lionel Messi mengambil masa hanya tiga minit untuk menjaringkan gol sebaik pulih daripada kecederaan apabila Barcelona membelasah Deportivo la Coruna 4-0 semalam, namun Barca kekal dua mata di belakang Atletico Madrid dan Real Madrid yang garang merobek gawang lawan.

Jaringan hatrik Yannick Carrasco dan dua gol pertama Nicolas Gaitan buat Atletico memastikan kebangkitan anak buah Diego Simeone untuk menghukum Granada 7-1 selepas ketinggalan pada awal permainan.

Real terus menyaingi pencabar setempat dengan empat gol pada babak pertama untuk menang 6-1 ke atas Real Betis dan mengakhiri empat keputusan seri berturut-turut sebelum ini.

Barca mendahului 3-0 hasil jaringan Luis Suarez dan dua jaringan Rafinha sebelum Messi diturunkan selepas direhatkan hampir sebulan akibat masalah pangkal paha dan tidak melengahkan masa untuk menjaringkan gol kesembilannya musim ini.

“Satu persembahan sempurna,” kata pengurus Barca Luis Enrique.

“Leo kembali bersama kami dan dia tidak memerlukan masa lama untuk kembali pada tahap terbaik.”

Messi tidak diperlukan untuk memenangi perlawanan kerana Barca sudah pun dijanjikan tiga mata sebelum separuh masa.

Rafinha saling berbalas hantaran dengan Suarez sebelum meledak gol yang gagal diselamatkan penjaga gol German Lux dan kemudiannya menjaringkan gol kedua 15 minit kemudian selepas Lux menyelamatkan percubaan Gerard Pique.

Suarez menyamai catatan Antoine Griezmann sebagai penjaring terbanyak La Liga dengan enam gol musim ini apabila berjaya melepaskan diri daripada pertahanan Deportivo selepas menerima hantaran Neymar dalam laluan menyumbat gol ketiga.

Messi diturunkan dari bangku simpanan sebelum tepat sejam permainan dan hanya memerlukan tiga sentuhan apabila berjaya menyempurnakan hantaran Neymar yang gagal diselamatkan Lux.

Hari malang Deportivo semakin parah dengan layangan kad merah buat Laure 25 minit sebelum tamat kerana menyiku muka Neymar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 8:44 AM