SIGURDSSON (kiri) dan Wayne Rooney ketika beraksi menentang United, Ahad lalu.
SIGURDSSON (kiri) dan Wayne Rooney ketika beraksi menentang United, Ahad lalu.
Reuters

LIVERPOOL, England: Everton mempamerkan tanda peningkatan di sebalik kekalahan besar kepada Manchester United dan pasukan itu mempunyai karakter untuk mengubah keadaan, kata pemain tengah Gylfi Sigurdsson.

Kekalahan 0-4 di tangan United Ahad lalu adalah kekalahan ketiga berturut-turut Everton dalam Liga Perdana Inggeris selain tumpas 0-3 kepada kelab Itali, Atalanta dalam aksi Liga Europa minggu lalu menambah kedukaan mereka.

Sigurdsson, pemain termahal Everton yang hadir pada pramusim bersama beberapa muka baru berkata, ada tanda-tanda skuad itu sudah bersatu hati.

“Ya, sukar untuk menyatakannya selepas kalah 0-4, tapi kami akan kekal bersama, kekal positif dan terus bekerja keras,” ujar pemain kebangsaan Iceland itu.

“Sekalipun kami melepaskan empat gol saya fikir kami lebih mantap sebagai satu pasukan dan sukar untuk digugat. Tapi, kami akan cuba meningkatkan permainan dalam beberapa perlawanan akan datang.”

Everton, di tangga ke-18 liga dengan empat mata daripada lima perlawanan, menanti kunjungan Sunderland pada aksi Piala Liga Inggeris awal pagi Khamis ini sebelum bertemu Bournemouth dalam liga di Goodison Park, Sabtu ini.

“Ramai daripada kami pernah berada dalam posisi ini sebelum ini - yang mana ia tidak menyebelahi kami,” kata Sigurdsson.

“Ia tidak kelihatan bagus ketika ini, tapi saya sedar kami cukup bagus untuk mengubah keadaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 7:45 PM