PENONTON bertempiaran menyelamatkan diri selepas kereta mengeluarkan api. FOTO ABC News
PENONTON bertempiaran menyelamatkan diri selepas kereta mengeluarkan api. FOTO ABC News
AFP

SEORANG penonton parah manakala 11 lagi cedera selepas sebuah kereta lumba seret (drag car) menyemburkan api ke arah peminat menyaksikan ‘burnouts’ di tepi litar di Alice Springs, Australia.

Insiden berlaku di Red CentreNATS Alice Springs, semalam dengan rakaman video penonton menunjukkan kereta terbabit tiba tiba mengeluarkan api ke arah mereka sewaktu melakukan pusingan donut.

“12 penonton mendapatkan rawatan di Hospital Alice Springs. Seorang pesakit kritikal manakala 11 lagi serius tetapi dalam keadaan stabil,” menurut penganjur perlumbaan itu dalam satu kenyataan.

“Keadaan ini sememangnya memberi tekanan tetapi semua semua pesakit menerima layanan yang mereka perlukan.”

Seorang saksi melihat insiden, Chris Dess menyifatkan dia nampak “bola api besar” keluar daripada belakang kereta terbabit.

Perlumbaan dikenali “Ultimate Festival of Wheels“ itu adalah acara menarik ribuan peminat permotoran datang ke tengah Australia untuk perlumbaan hujung minggu dan hiburan.

Penganjur menutup acara itu selepas insiden dengan polis dan pihak berkuasa memadam api masih melakukan siasatan.

Ketua Menteri Wilayah Utara Australia, Michael Gunner berkata biarpun tragedi itu berlaku dia berharap acara itu akan diadakan semula tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 9:11 PM