Najib bersama Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah (tengah) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bergambar bersama Eric, Khairul dan Nasuwun. FOTO OSMAN ADNAN
Najib bersama Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah (tengah) dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bergambar bersama Eric, Khairul dan Nasuwun. FOTO OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat & Firdaus Hashim


KEJAYAAN jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan menjuarai acara 100 meter Sukan SEA mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengakui berbangga dengan semangat juang raja pecut Asia Tenggara itu.

Beliau berkata walaupun terdapat cabaran sengit diberikan oleh pelari Filipina, Eric Shauwn Cray dan atlet Thailand, Kritsada Namsuwun namun memuji karakter Khairul yang tenang menewaskan pencabarnya itu.

“Saya berbangga begitu juga seluruh rakyat Malaysia di atas kejayaan menjadi pelari pecut terpantas di Asia Tenggara.

“Dia (Khairul) menunjukkan ketenangan dan berlari penuh semangat. Saya percaya sokongan daripada penyokong memberi motivasi tambahan kepadanya untuk berlari berhabis-habisan.

“Tentunya ia pencapaian yang manis bagi Malaysia,” katanya kepada media di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Pada saingan final acara riben biru itu, Khairul digelar ‘The Speedy Jantan’ muncul manusia terpantas rantau ini dengan memenangi pingat emas dengan catatan masa 10.38 saat.

Juara bertahan dari Filipina, Eric Shauwn Cray sekadar meraih pingat perak menerusi lakaran 10.43 saat manakala pingat gangsa dibawa pulang pelari Thailand, Kritsada Namsuwun juga dengan catatan masa 10.43 saat.

Kejayaan luar biasa pelari berusia 19 tahun dari Melaka itu turut menamatkan penantian 14 tahun dengan kali terakhir Malaysia mengungguli acara pecut pada Sukan SEA 2003 di Vietnam menerusi Nazmizan Muhammad yang merangkul emas berganda dalam acara 100m dan 200m.

“Kemenangan Khairul ini boleh dicontohi atlet lain yang masih berjuang. Kalau dia boleh (Khairul) mereka juga boleh melakukan seperti mana dilakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:05 AM