MUHAMMAD Hafizuddin  (kiri) mungkin diberi peranan utama. -Foto fail
MUHAMMAD Hafizuddin (kiri) mungkin diberi peranan utama. -Foto fail
Saiful Affendy Sapran


PENJAGA gol kedua skuad hoki lelaki negara Muhammad Hafizuddin Othman kemungkinan besar bakal diberi peranan utama pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Hafizuddin berkata, perkara itu dinyatakan sendiri oleh ketua jurulatih Stephen Van Huizen yang berhasrat untuk menggunakan khidmatnya lebih banyak berbanding penjaga gol utama S Kumar.

“Sudah tentu apabila jurulatih memberitahu perkara itu, saya sangat teruja untuk membantu pasukan.

“Beliau mahu saya memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya bagi mendapatkan semula tahap kecergasan yang tinggi selain momentum pada perlawanan antarabangsa,” katanya.

Pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, Hafizuddin yang berstatus penjaga gol kedua negara di belakang Kumar hanya berpeluang beraksi selama lima minit ketika bertemu China pada perlawanan peringkat kumpulan.

Sebaik pulang pula, dia menjalani pembedahan kecil di kedua-dua tepi badannya untuk mengatasi masalah kekejangan dan peluh.

“Sekarang saya sudah pulih sepenuhnya dan bersedia 100 peratus untuk menghadapi Sukan SEA.

“Seperti rakan sepasukan lain, saya juga fikir kita tidak boleh memandang mudah cabaran daripada pihak lawan sebab pasukan yang jarang atau tidak pernah kita temui kadang-kadang lebih sukar untuk ditewaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 7:12 PM