HAFIZUDDIN  (kanan) bersama  Hairi  menjalani sesi latihan. FOTO Hasriyasyah Sabudin
HAFIZUDDIN (kanan) bersama Hairi menjalani sesi latihan. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Pertembungan ujian pemanas badan dengan Argentina di Stadium Hoki Bukit Jalil malam ini bakal menjadi medan ‘pertarungan’ buat - Hafizuddin Othman dan Hairi Abd Rahman bagi merebut posisi penjaga gol utama skuad hoki negara pada kempen Piala Sultan Azlan Shah bermula Sabtu ini.

Mereka ketika ini menjadi pilihan utama untuk mengisi kekosongan ditinggalkan S Kumar yang digantung sementara, namun kedudukan itu hanya akan diputuskan selepas dua sesi pemanas badan menentang Argentina.

Berdasarkan pengalaman, ternyata Hafizuddin, 26, lebih layak selepas pernah tampil sebanyak 43 kali untuk negara namun jika dinilai dari prestasi semasa, Hairi yang tua dua tahun daripadanya dilihat sedang berada pada tahap terbaik kariernya.

Hafizuddin bagaimanapun kekal berharap dia dapat mengatasi rakan sepasukannya itu untuk muncul penjaga gawang utama negara sambil mengakui dia mempunyai tips untuk menangkis ketajaman penyudah Argentina yang diketuai pakar flick Gonzalo Peillat.

“Saya sedar aksi menentang Argentina esok (hari ini) akan menjadi penentu kepada saya dan Hairi untuk memburu status penjaga gol utama untuk PSAS nanti,” kata Hafizuddin.

“Buat masa ini saya tidak pasti siapa yang menjadi pilihan jurulatih.

“Apapun, saya rasa kami berdua mampu mengambil tanggungjawab sebagai penjaga gol utama, memang jarak antara kami berdua dengan Kumar masih jauh tetapi jika mendapat aksi antarabangsa secukupnya tidak mustahil kami perlahan-lahan akan mencapai tahap Kumar.”

Ketika ini, seramai 27 pemain sedang mengikuti kem latihan kebangsaan termasuk penjaga gol percubaan Zaimi Md Deris.

Tetapi di kalangan tiga penjaga gol itu, dua slot untuk ke Ipoh hampir pasti menjadi milik Hafizuddin dan Hairi yang masing-masing beraksi untuk Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam saingan Liga Perdana baru-baru ini.

Mengulas mengenai pertemuan dengan pasukan nombor dua dunia itu esok, Hafizuddin percaya peluang beraksi dengan barisan pemain import Argentina pada saingan Liga Perdana 2018 banyak membantu meningkatkan keyakinannya untuk berdepan skuad pemenang emas Olimpik 2016 itu.

“Memang kehadiran pemain seperti Peillat banyak membantu, kini saya sudah mengetahui cara dan teknik flick yang digunakannya. Bola hayunan flick (Peillat) memang laju dan teknik yang digunakannya juga berbeza.

“Berbanding pemain tempatan, dia lebih gemar menyilang kaki kanannya ke depan apabila mengambil pukulan sudut penalti. Malah, dia juga pandai mengubah hala tuju bola di saat akhir sewaktu mengambil pukulan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 5:51 AM