PRESIDEN Persatuan Badminton Selangor, Senator Datuk V. Subramaniam (depan tengah) bersama Pengarah Urusan Fleet, Teo Tong Wah (depan dua dari kiri) Pengurus NVBA, Manojkumar (depan dua dari kanan) bergambar bersama para pemain NVBA. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
PRESIDEN Persatuan Badminton Selangor, Senator Datuk V. Subramaniam (depan tengah) bersama Pengarah Urusan Fleet, Teo Tong Wah (depan dua dari kiri) Pengurus NVBA, Manojkumar (depan dua dari kanan) bergambar bersama para pemain NVBA. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ferzalfie Fauzi


BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, K Yogendran bersedia untuk melakukan penampilan sulung di Kejohanan Dunia yang bermula 21 Ogos ini dan bergandingan dengan Prajakta Sawant dalam acara beregu campuran.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, sejak dia digandingkan bersama Prajakta yang berasal dari India, Januari tahun lalu, mereka berjaya menunjukkan peningkatan mendadak seterusnya mara ke kejohanan secara merit.

“Kami menunjukkan peningkatan mendadak dan sebagai pemain yang bernaung di bawah Akademi Badminton New Vision (NVBA) sudah tentu saya bangga kerana layak ke kejohanan ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis penajaan bersama Fleet International Holdings Sdn Bhd semalam.

Jelasnya, mereka sudah melakukan persiapan terbaik dalam tempoh dua bulan dan yakin mampu menghadirkan keputusan memberangsangkan di kejohanan yang berlangsung di Glasgow, Scotland itu.

“Kami berharap dapat memberikan yang terbaik dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, ‘rakan sparring’, Fleet International dan NVBA. Bonus yang dijanjikan penaja juga memberikan saya motivasi tinggi untuk beraksi cemerlang di sana,” kata Yogendran.

Fleet International menjanjikan habuan sebanyak RM20,000 jika berjaya mara ke suku akhir, RM50,000 untuk separuh akhir dan RM100,000 bakal menanti mereka seandainya mampu merangkul gelaran juara dunia acara beregu campuran.

Pasangan ini yang menduduki ranking 43 dunia itu bakal berdepan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Chiang Kai Hsin di pusingan pertama.

“Undian agak baik buat kami tapi ini adalah Kejohanan Dunia. Tidak ada siapa boleh mengambil mudah. Siapa yang melakukan persiapan dengan baik termasuk dari segi kemahiran dan kecergasan belum tentu boleh berjaya jika tiada kekuatan mental,” katanya.

Sementara itu, Prajakta berterima kasih kepada NVBA, jurulatih dan semua pihak yang memberi sokongan padu kepadanya sehingga mara ke Kejohanan Dunia buat kali pertama.

“Saya gembira apabila layak. Kami berlatih dengan keras dan akan memberikan yang terbaik di sana,” kata pemain kelahiran Mumbai berusia 25 tahun itu.

Pada majlis sama, Fleet International menghulurkan penajaan berbentuk peralatan sukan kepada semua empat pemain elit dan enam pemain remaja NVBA bernilai RM300,000 selama setahun bermula 1 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 5:53 PM