EE Wei gagal mengulangi pencapaian tahun lalu di Kejohanan Remaja Dunia, Yogyakarta.
EE Wei gagal mengulangi pencapaian tahun lalu di Kejohanan Remaja Dunia, Yogyakarta.
Ferzalfie Fauzi


“MASIH kecewa,” jelas pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei apabila dia gagal sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu pada Kejohanan Remaja Dunia apabila berjaya meraih gangsa.

Kali ini di kejohanan sama di Yogyakarta, Ee Wei yang bergandingan dengan Ng Eng Cheong terkandas pada suku akhir, malah hanya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak bagi acara berpasukan campuran.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, banyak lagi perkara yang harus dipertingkatkan dalam perjalanan untuk menjadi pemain senior.

“Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati walaupun tumpas di suku akhir acara beregu campuran dan pusingan keempat beregu wanita (bergandingan dengan Pearly Tan), sekurang-kurangnya saya sudah berjuang habis-habisan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujar Ee Wei, dia sudah memberikan persembahan terbaik dan sekurang-kurangnya berjaya membantu skuad berpasukan campuran mengulangi pencapaian tahun lalu mara ke final sebelum tumpas 1-3 kepada kuasa besar, China.

“Saya berterima kasih kepada semua pemain kerana mereka sudah memberikan persembahan 100 peratus tidak lupa juga barisan kejurulatihan.

“Dalam pada itu, saya masih lagi berasa sedih kerana pada suku akhir beregu campuran menentang Rehan Naufal Kusharjanto-Siti Fadia Silva Ramadhani, kami sudah mendahului 15-14 pada aksi penentuan tapi tidak berjaya menumpaskan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai penampilan terakhirnya pada Kejohanan Remaja Dunia di Toronto, Kanada tahun depan, Ee Wei yang berusia 17 tahun berharap dia mampu mendapat gandingan mantap kerana tidak tahu siapa akan bergandingan dengannya pada kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 9:20 PM