Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi beberapa pertandingan besar tahun ini seperti Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber), Piala Uber dan Siri Super pertama di Terbuka Australia diharap mampu membantu perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei (gambar).

Jin Wei yang sekadar meraih gangsa di Kejohanan Remaja Asia tahun lalu berharap penampilan kali ketiga akan membantunya memperoleh keputusan lebih cemerlang, setidak-tidaknya berjaya ke final.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, walaupun meletakkan sasaran mara ke final tetapi dia tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Saya tidak boleh memandang rendah keupayaan pemain lain terutama dari China, Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Indonesia,” kata juara remaja dunia itu ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya, dia juga ingin membantu pasukan untuk mencatat keputusan lebih cemerlang dengan syarat semua pemain harus mempunyai semangat sepasukan.

“Bagi acara berpasukan memang China dan Indonesia lawan sukar tapi kita akan cuba untuk melakukan kejutan, jika diundi bertemu mereka nanti,” kata pemain berusia 16 tahun itu.

Pada penampilan sulung kejohanan ini, Jin Wei yang ketika itu berusia 14 tahun, kandas di pusingan kedua.

Kejohanan Remaja Asia yang diadakan di Bangkok, akan berlangsung dari 9 hingga 17 Julai dan edisi terdahulu menyaksikan China menyapu bersih semua kategori bagi acara individu serta berpasukan campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:27 AM