JIN Wei. FOTO Muhaizan Yahya
JIN Wei. FOTO Muhaizan Yahya
Datuk Seri Jalani Sidek

Saingan berprestij Seluruh England bakal berlangsung lagi bermula 6 hingga 10 Mac ini.

Bagi pemerhati serta mereka yang cukup rapat dengan dunia badminton pastinya sedar betapa kejohanan itu mempunyai nilai prestij.

Selain Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik, Seluruh England menjadi idaman kepada setiap pemain profesional untuk muncul juara.

Mungkin kerana saya sendiri pernah merasai nikmat sebagai juara di kejohanan itu, saya sentiasa menganggap Seluruh England mempunyai ‘nilai’ yang cukup mahal.

Namun berbeza tahun sebelumnya, kali ini kita tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki.

Jika bertanya kepada saya, sudah tentu edisi kali ini kurang serinya tanpa wakil dalam acara perseorangan lelaki.

Tapi tidak bermakna sokongan kepada barisan pemain negara terhenti begitu saja. Ini kerana kita masih mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita, beregu lelaki dan beregu campuran.

Paling mencuri tumpuan saya ketika ini adalah Goh Jin Wei. Sehingga artikel ini ditulis, perseorangan wanita negara itu sudah mara sehingga ke saingan separuh akhir Terbuka Jerman.

Bagi saya ia satu pencapaian amat membanggakan. Siapa sangka gadis yang bertubuh kecil dan dilihat tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dalam konteks fizikalnya mampu mara sejauh itu.

Jin Wei membuktikan bahawa tiada yang mustahil untuk muncul juara pada usia muda. Sebenarnya begitulah caranya untuk menghasilkan seorang juara ketika ini.

Saya tidak terkejut dengan perkembangan drastik dipamerkan oleh Jin Wei. Seharusnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memikirkan cara bagaimana untuk melahirkan lebih ramai pemain seperti Jin Wei. Kita tidak mahu hanya seorang Jin Wei saja di Malaysia ini.

Sekali lagi, berilah sokongan kepada barisan pemain negara di Seluruh England. Mana tahu ada kejutan di sana nanti. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:02 AM