SKUAD Badak perlu menang tiga perlawanan selepas ini untuk perkukuh kedudukan.
SKUAD Badak perlu menang tiga perlawanan selepas ini untuk perkukuh kedudukan.
Ryan Stanley

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah, Jelius Ating lega kerana pasukan itu akhirnya berjaya mencapai sasaran untuk terus kekal dalam Liga Perdana musim depan selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak, kelmarin.

Katanya, kemenangan itu juga membuktikan pasukan yang terkenal dengan jolokan Sabah Rhinos itu terus menunjukkan perubahan apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan berturut-turut.

“Sudah pasti saya gembira dengan pencapaian kita setakat ini namun, ia masih belum selesai kerana kita masih ada tiga lagi perlawanan dan sasaran kita adalah untuk mengekalkan momentum seterusnya cuba memperbaiki kedudukan,” katanya.

Mengulas aksi kelmarin, Jelius berkata, Sabah menguasai hampir keseluruhan permainan namun gagal bertindak lebih garang untuk mendapatkan gol pada awal perlawanan.

“Pada separuh masa pertama, pemain seperti terlalu yakin dengan mereka hanya lebih banyak bermain di bahagian tengah dan agak kurang untuk cuba memasuki kubu pertahanan lawan.

“Bagaimanapun, pada penghujung babak pertama, mereka (pemain) mula mempamerkan corak permainan lebih meyakinkan dan berjaya memperoleh gol pertama, begitu juga pada separuh masa kedua,” katanya.

Pada perlawanan itu, Sabah membawa pulang tiga mata hasil jaringan Rodoljud Paunovic pada minit ke-45 dan Heo Jaenyong pada minit ke-86.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 4:47 AM