Sathianathan (kiri) bersama Zah Rahan serta pemain Tampines Rovers, Izwan Mahbud dan jurulatih TR, Jurgen Raab. FOTO BERNAMA
Sathianathan (kiri) bersama Zah Rahan serta pemain Tampines Rovers, Izwan Mahbud dan jurulatih TR, Jurgen Raab. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Maran: Ketiadaan lima pemain utama termasuk ketua pasukan, Shukor Adan bukan alasan untuk Felda United tidak meraih tiga mata apabila menentang Tampines Rovers di halaman sendiri dalam saingan Kumpulan G Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), esok.

Pengendali Felda United, B Sathianathan berkata kemenangan yang diidamkan itu perlu dijelmakan bagi memastikan skuad The Fighters mampu mengorak langkah lebih jauh dalam kejohanan itu.

"Apa yang kita mahu ialah mencatat kemenangan dan mendapat tiga mata. Ini kerana kita sekarang berada di tangga kedua dan berpeluang memperbaiki kedudukan dan mara lebih jauh," katanya pada sidang media di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, hari ini.

Menurutnya lima pemain utama yang cedera berkemungkinan tidak dapat diturunkan tetapi menjelaskan skuad itu mempunyai barisan simpanan berkualiti. Selain Shukor, empat pemain lain adalah Syahid Zaidon, Mootaz Jounaidi, Stewart Wark dan Wan Amirul Afiq.

Pada masa sama, Sathianathan mengharapkan sokongan penyokong terutama warga Felda kerana ia mampu meningkatkan moral dan semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang.

Pengendali Tampines Rovers, Jurgen Raab berkata pasukannya tiada pilihan selain memastikan kemenangan kerana kekalahan kepada tuan rumah akan mengakibatkan mereka tersingkir daripada saingan Piala AFC musim ini. "Kami hanya memiliki tiga mata dan menghuni tangga tercorot.

Ini ialah aksi penentuan dan kami mahukan kemenangan.

"Kejayaan menewaskan Felda United di tempat mereka pastinya memberi kelegaan kepada kami," katanya.

Felda United kini berada di tangga kedua dengan lima mata selepas mengharungi empat perlawanan manakala Tampines Rovers menghuni kedudukan terakhir dengan tiga mata.

Perlawanan malam esok adalah kali pertama dilangsungkan di STAR selepas rayuan Felda United untuk beraksi di gelanggang sendiri diterima AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 5:15 PM