PEMAIN Pahang, Ivan Carlos (dua kanan) meraikan jaringan penyamaan selepas berjaya menewaskan penjaga gol Felda United FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pada perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) semalam. FOTO Bernama
PEMAIN Pahang, Ivan Carlos (dua kanan) meraikan jaringan penyamaan selepas berjaya menewaskan penjaga gol Felda United FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin pada perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) semalam. FOTO Bernama
Asrol Awang


Maran: Biarpun gagal mencatat kemenangan, Dollah Salleh bersyukur kerana skuadnya berjaya mencuri satu mata selepas seri 2-2 ketika berdepan Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, semalam.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, ini kerana skuadnya bangkit pada babak kedua perlawanan selepas ketinggalan 1-2 untuk memastikan pasukan itu tidak pulang hampa.

"Pada keseluruhannya kita bermain baik sepanjang tempoh 35 minit perlawanan apabila mendahului 1-0 sebelum Felda United bangkit dengan menjaringkan dua gol.

"Tapi saya puji dengan semangat semua pemain yang tidak berputus asa walaupun ketinggalan dan hasilnya kita berjaya mendapatkan gol penyamaan 2-2.

"Biarpun kemenangan yang dicari, saya berterima kasih kepada barisan pemain muda yang semakin menunjukkan peningkatan dari segi permainan selepas kehilangan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan," katanya.

Pada perlawanan itu, dua pemain utama skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon tidak beraksi kerana berdepan masalah kecederaan.

Sementara itu, pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil mengakui kecewa kerana skuadnya gagal dalam misi mengutip tiga mata di laman sendiri.

Namun, beliau tetap memuji komitmen dan semangat anak buahnya walaupun ketinggalan 0-1, mereka bangkit dengan kedudukan 2-1 sebelum akur berkongsi satu mata selepas berakhir dengan keputusan seri 2-2.

"Bagi saya satu mata yang dikutip lebih baik daripada Pahang membawa pulang tiga mata.

"Oleh itu kami perlu bekerja keras dan berusaha untuk mengutip mata maksiumum dengan tiga baki perlawanan.

"Diharapkan semua pemain mengekalkan prestasi mereka terutama pemain muda yang mempamerkan peningkatan," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Felda United, masing-masing satu dijaringkan oleh Nikola Raspopovic dan Akhmar Haiqal Azhar pada minit ke-37 dan 45.

Dua gol Pahang pula, masing-masing satu dijaringkan Muslim Ahmad dan Ivan Carlos minit ke-14 dan 78.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 1:58 PM