STEPHEN (tengah) akui banyak manfaat diterima pasukan jika diserap ke Program Podium.
STEPHEN (tengah) akui banyak manfaat diterima pasukan jika diserap ke Program Podium.

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Stephen Van Huizen menaruh harapan pasukannya akan diserapkan ke dalam Program Podium.

Jelas Stephen, jika itu menjadi kenyataan, banyak manfaat yang akan diperoleh Malaysian Tigers terutama membabitkan sokongan sains sukan.

“Saya tidak katakan di bawah Program Kita juara ketika ini kita kekurangan sokongan. Tapi jika berada di bawah Program Podium mungkin sokongan itu lebih baik.

“Yang saya mahu tekankan di sini adalah jika terpilih ke Program Podium, kemungkinan besar ada nilai tambah lebih baik untuk skuad negara,” katanya yang membawa pasukannya layak secara merit ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar menerusi kempen kelayakan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London bulan lalu.

Stephen bagaimanapun berkata, pihaknya menghormati kriteria ditetapkan untuk diserapkan ke program itu yang hanya membabitkan atlet terpilih.

“Saya faham ISN (Institut Sukan Negara) mempunyai kriteria mereka.

“Apapun, jika berasakan kami layak untuk diserapkan ke dalam program itu, pasti mereka akan menimbangkannya. “Bagi saya yang penting sekarang adalah fokus untuk memenangi pingat Sukan SEA sebab ia mungkin sebahagian daripada kriteria untuk ke Program Podium,” katanya.

Pengerusi ISN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam laporan akhbar sebelum ini menyatakan peluang hoki lelaki untuk disenaraikan dalam Program Podium bergantung kepada prestasi dipamerkan di di Bhubaneswar.

Namun Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi kenyataannya meminta jawatankuasa penilaian Program Podium mempertimbangkan untuk hoki lelaki disenaraikan ke dalam program itu selepas berakhir Sukan SEA nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 9:41 AM