AFP

London: Roger Federer (gambar) meminta penganjur Grand Slam tidak panik dengan mengurangkan perlawanan kepada tiga set terbaik selepas pemain yang cedera didakwa mengambil wang dan pulang, kelmarin.

Federer layak ke pusingan kedua Wimbledon apabila Alexandr Dolgopolov tidak meneruskan perlawanan ketika ketinggalan 3-6, 0-3 selepas hanya 43 minit di gelanggang tengah mengadu cedera buku lali.

Terdahulu, musuhnya Novak Djokovic mara ke pusingan kedua hanya selepas 40 minit apabila Martin Klizan, yang mengalami kecederaan betis, tidak meneruskan perlawanan ketika ketinggalan 3-6, 0-2.

Ia bermakna penonton di gelanggang utama itu hanya menyaksikan aksi 83 minit dua pemain lelaki yang menang 10 kejuaraan Wimbledon antara mereka.

“Saya faham perasaan penonton,” kata Federer. “Mereka berada di sana untuk menonton aksi terbaik tenis.”

Tujuh pemain lelaki tidak meneruskan perlawanan pada pusingan pertama - Isnin lalu, Victor Troicki berhenti selepas hanya 20 minit.

Catatan itu dipadamkan rakan senegaranya dari Serbia, Janko Tipsarevic kelmarin yang menamatkan aksinya selepas hanya 15 minit.

Pemain yang kalah pada pusingan pertama menerima £35,000 (RM194,000).

Ada peraturan dalam jelajah utama ATP namun tidak dalam Grand Slam bahawa pemain yang cedera boleh memberikan tempatnya kepada ‘lucky loser’ dari pusingan kelayakan walaupun mereka tetap menerima hadiah wang itu.

Alasan mengenai perubahan itu adalah untuk menjamin integriti kejohanan itu dan menghalang penyokong daripada berasa tertipu.

Namun Federer tidak mahu Grand Slam bertukar kepada format tiga set terbaik berbanding format tradisi lima set terbaik.

“Saya harap ia tidak berlaku. Tapi saya percaya lebih ramai pemain akan berusaha menghabiskan perlawanan mereka,” ujar Federer yang membida rekod kejuaraan Wimbledon kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 10:15 AM