DJOKOVIC catat kemenangan ke-33 berturut-turut.
DJOKOVIC catat kemenangan ke-33 berturut-turut.
AFP

Melbourne: Novak Djokovic meneruskan cengkamannya dalam arena tenis lelaki selepas melangkah ke pusingan keempat Terbuka Australia bersama Serena Williams yang mengesahkan tempat dalam tempoh hanya 44 minit.

Ketika Roger Federer mencatat kemenangan Grand Slam buat kali ke-300, Djokovic tetap dicemburui lawan apabila dia mengetepikan cabaran yang cuba dihulur Andreas Seppi sekali gus melangkah ke hujung minggu ini dengan penuh bergaya.

Pilihan utama dan juara bertahan itu berjaya mengekang mata penamat yang cuba disempurnakan Seppi dan menang 6-1, 7-5, 7-6 (8/6) untuk mencatat kemenangan ke-33 berturut-turut ke atas lawan dari Itali itu.

Kekuatan mental Djokovic terserlah pada perlawanan menentang Seppi, lawan yang mengalahkan Federer di peringkat sama tahun lalu.

Sebelum itu, Federer layak ke pusingan keempat selepas menang 6-4, 3-6, 6-1, 6-4 ke atas Grigor “Baby Fed” Dimitrov, pemain yang mempunyai corak permainan sama dengannya dan dia berkata seolah-olah beraksi di depan cermin.

Federer tidak begitu kerap dicabar lawan dan kemenangan itu membolehkannya muncul sebagai pemain lelaki pertama mencatat 300 kemenangan dalam arena Grand Slam dan hanya ketinggalan enam lagi kemenangan untuk menyamai rekod 306 yang dilakar Martina Navratilova.

“Ia sangat seronok dan itu yang boleh saya katakan kepada anda,” kata bintang Switzerland itu yang turut bergelar pemain lelaki tertua yang mungkin layak ke kelompok 16 terakhir sejak Andre Agassi melakukannya pada 2005.

“Saya tidak pernah bercita-cita untuk mencatat angka sebegitu tapi apabila ia menjadi kenyataan, ia amat istimewa.”

Maria Sharapova turut berdepan tentangan sebelum berjaya mengalahkan pemain Amerika Syarikat Lauren Davis 6-1, 6-7 (5/7), 6-0, sekali gus menjadi kejayaan ke-600 sepanjang kariernya.

Maria meninggalkan gelanggang selepas tewas di tiebreak set kedua tetapi kembali lebih bertenaga untuk menang dan menempah tiket bertemu pemain Switzerland Belinda Bencic.

Serena langsung tidak berdepan masalah untuk mengatasi pemain remaja Russia Daria Kasatkina 6-1, 6-1 dalam tempoh 44 minit dan ia perlawanan paling singkat setakat ini.

“Saya bermain lebih baik hari ini. Semua yang saya cuba lakukan menjadi dan ia melonjakkan semangat saya,” kata pemain nombor satu dunia itu yang mahu memburu gelaran Grand Slam buat kali ke-22 sepanjang kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:05 AM