Aziman Rosdi


Johor Bahru: Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada (gambar) mahu anak buahnya menjadikan kejayaan Portugal menjuarai Euro 2016 sebagai inspirasi untuk mereka melakar kejutan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2019.

Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan B kelayakan itu bertemu Lubnan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini dan ia juga aksi pertama Vingada, 64, bersama skuad kebangsaan sejak dilantik bulan lalu.

Selepas hampir dua minggu mengendalikan latihan pusat bersama 26 pemain, Vingada pengendali dari Portugal percaya anak buahnya mampu melakukan kejutan.

“Mungkin daripada enam kumpulan yang bersaing dalam kelayakan, kita antara yang berada dalam kumpulan sukar. Walaupun sukar, kita bukanlah menentang pasukan terbaik Asia di kelayakan ini.

“Di Eropah, Portugal muncul juara Eropah meskipun ada kelemahan. Ya, memang benar kami ada kelemahan dalam beberapa aspek tapi kami juga ada kekuatan.

“Selepas hampir dua minggu berlatih manakala pemain dari Johor Darul Ta’zim hanya seminggu, saya melihat peningkatan pemain. Mereka sungguh bermotivasi dan percaya mampu melakukan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya dalam sidang media praperlawanan itu semalam.

Selain Lubnan yang menghuni ranking ke-135 dunia, Malaysia (155) turut akan bersaing dengan Korea Utara dan Hong Kong bagi merebut slot ke pusingan akhir Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia perlawanan pertama Harimau Malaya selepas aksi dengan Korea Utara ditunda dua kali pada 28 Mac dan 8 Jun sebelum ditetapkan pada 5 Oktober.

Pentas Piala Asia bukan asing buat Vingada yang pernah membimbing Arab Saudi meraih kejuaraan pada 1996 namun Malaysia tidak pernah layak ke pusingan akhir sejak 1980 dan kali terakhir mara atas tiket tuan rumah bersama pada 2007.

Dalam pada itu Vingada yang turut dikenali sebagai The Professor mengumumkan pemain tengah yang kembali daripada persaraan Safiq Rahim sebagai kapten pasukan.

“Ini bukan kali pertama dia (Safiq) menjadi kapten, keputusan ini saya buat menerusi perbincangan bersama. Memang ada pemain lebih tua daripadanya, yang mempunyai lebih banyak cap, tapi dia juga pemain berpengalaman yang akan turun sebagai pemain utama,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 4:23 AM